KUALA LUMPUR 9 Feb – Nilai jualan sektor pembuatan berjumlah RM1.97 trilion pada 2025, kenaikan 4.2% daripada RM1.89 trilion dicatatkan pada 2024, manakala jualan pada Disember tahun lepas meningkat 6.4% tahun ke tahun sebanyak RM168.6 bilion.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan nilai jualan sektor pembuatan kebanyakannya didorong oleh produk elektrik dan elektronik yang melonjak 12.6% pada Disember 2025 daripada 10.8% pada November 2025.
“Pertumbuhan ini disokong lagi oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka, masing-masing meningkat 10.4% (November 2025: 7.7%) dan 5.3% (November 2025: 3.4%),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata jika dibandingkan mengikut bulan, pertumbuhan nilai jualan susut 0.5% berbanding RM169.4 bilion dicatatkan pada November 2025.
Beliau berkata pertumbuhan nilai jualan industri berorientasikan eksport, mewakili 70.4% daripada jumlah jualan, meningkat 6.8% pada Disember 2025 daripada 4.6% pada November 2025.
Begitu juga dalam industri berorientasikan domestik, ia meningkat sebanyak 5.6% pada Disember 2025, selepas mencatatkan 4.6% pada bulan sebelumnya, kata Mohd Uzir.
Mengulas mengenai jumlah pekerja, Mohd Uzir berkata terdapat 2.4 juta pekerja direkodkan dalam sektor ini pada Disember 2025, bertambah sebanyak 1.1% (November 2025: 0.8%).
Berasaskan bulan ke bulan, jumlah pekerja dalam sektor ini meningkat 0.1%.
Sementara itu, beliau berkata gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan berkembang 2.5% (November 2025: 1.9%), berjumlah RM9.1 bilion pada Disember 2025.
Mohd Uzir berkata pada suku keempat 2025, nilai jualan dalam sektor pembuatan melonjak sebanyak 5.8% tahun ke tahun, mencapai RM509.5 bilion (suku ketiga 2025: RM500.1 bilion, 3.5%), jumlah pekerja sepanjang suku tersebut meningkat sebanyak 1.1% (suku ketiga 2025: 1.0%) manakala gaji dan upah yang dibayar meningkat sebanyak 2.3%. -- BERNAMA








