PUTRAJAYA 26 Feb - NexG Berhad terus memperkasakan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat berkenaan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Menurut Pengarah Eksekutifnya, Datuk Ab Hamid Mohamad Hanipah, semua perancangan aktiviti tersebut akan dilaksanakan secara tersusun dan memberi impak yang tinggi kepada komuniti sepanjang 2026.
Jelasnya, komitmen berterusan ini mencerminkan nilai ihsan dan kebersamaan syarikat berkenaan dalam menyumbang secara penuh bermakna dengan lebih bersasar kepada masyarakat yang memerlukannya.

Melalui inisiatif ESG seperti ini, NexG berhasrat membina impak sosial mampan serta memperkukuhkan hubungan dengan komuniti setempat yang dikenal pasti perlu menerima bantuan di seluruh negara.
"Kami komited untuk memastikan program CSR yang dilaksanakan memberi nilai jangka panjang dan selari dengan prinsip tadbir urus yang baik serta agenda kemampanan ESG syarikat,” kata Ab Hamid.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Ramadan NexG 2026 di Hotel DoubleTree by Hilton Putrajaya, semalam, yang turut dihadiri seorang lagi Pengarah Eksekutifnya, Erna Ismail.

Acara tahunan ini menyaksikan kumpulan perkhidmatan rumusan teknologi digital berkenaan meraikan seramai 109 anak asnaf dan yatim sebagai sebahagian antara komitmen kelestarian syarikat itu.
Mereka terdiri daripada kanak-kanak di bawah naungan Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At Taqwa dari Puchong serta Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu dari Ampang.
"Penganjuran majlis berbuka puasa ini menggambarkan NexG komited berterusan memupuk nilai insan, dan percaya kejayaan organisasi bukan sahaja diukur melalui prestasi perniagaan," kata Ab Hamid.

Sepanjang tahun ini jelas beliau, kumpulan itu sudah merancang pelbagai senarai inisiatif CSR yang akan turut merangkumi aspek kebajikan, pembangunan komuniti, pendidikan serta kesejahteraan sosial.
Peningkatan ketara dalam skala dan kekerapan pelaksanaan program berbanding tahun-tahun sebelumnya mencerminkan kesungguhan NexG menjadikan kelestarian sebagai tunjang utama pertumbuhan organisasi.
Pada majlis tersebut, beliau dan Erna menyampaikan sumbangan 'duit raya' kepada penghuni dua rumah kebajikan berkenaan, dengan turut diiringi oleh Pengarah Komunikasi Strategiknya, Safia Hanifah.
Selain tetamu menikmati pelbagai juadah, program itu juga diserikan dengan tazkirah Ramadan disampaikan oleh Imam Muda Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan serta persembahan qasidah. - DagangNews.com








