MP Stampin buat laporan polis terhadap Sarawak Metro, KUTS berhubung kerosakan paip air hingga terputus bekalan 24 jam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MP Stampin buat laporan polis terhadap Sarawak Metro, KUTS berhubung kerosakan paip air hingga terputus bekalan 24 jam

KUCHING 25 Sept - Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen telah membuat laporan polis terhadap Sarawak Metro Sdn Bhd dan Kuching Urban Transportation System (KUTS) ekoran kerosakan paip air pada 22 Sept yang menyebabkan ribuan penduduk dan perniagaan terputus bekalan selama kira-kira 24 jam.

 

Chong berkata, gangguan bekalan air itu berpunca daripada kerosakan paip besi mulur (ductile iron, DI) berukuran 600mm di Jalan Canna apabila kontraktor Sarawak Metro menjalankan kerja-kerja cerucuk untuk projek Laluan Biru KUTS.

 

Kejadian itu tegasnya, memaksa banyak isi rumah menghadapi tempoh sehari tanpa air, manakala peniaga makanan dan penjaja terpaksa menutup perniagaan mereka buat sementara waktu.

 

“Ini adalah untuk memastikan kedua-dua agensi kerajaan tersebut bertanggungjawab atas tindakan mereka ketika melaksanakan kerja awam,” katanya, menurut laporan media Sarawak.

 

Chong yang juga diiringi ahli DAP Sarawak membuat laporan polis terhadap Sarawak Metro dan KUTS berhubung gangguan bekalan air di Jalan Canna di Balai Polis Padungan.

 

BERITA BERKAITAN: Sarawak Metro mohon maaf atas gangguan bekalan air akibat kerja pembinaan KUTS

 

Beliau menegaskan, dengan perancangan yang betul serta tinjauan tapak yang teliti, kejadian seumpama ini sepatutnya boleh dielakkan dengan mudah. Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur kecuaian dalam kerja-kerja reka bentuk dan perancangan.

 

Merujuk kepada Seksyen 425 Kanun Keseksaan, Chong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan berkata, perbuatan itu boleh dianggap sebagai “khianat” jika ia menyebabkan kerosakan kepada harta awam, manakala Seksyen 427 pula memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun, atau denda, sekiranya kerosakan melebihi RM25.

 

“Walaupun paip DI itu dimiliki oleh Sarawak Water Sdn Bhd, yang juga merupakan sebuah agensi kerajaan Sarawak, Sarawak Metro atau KUTS di bawah Kementerian Pengangkutan Sarawak tidak boleh mengambil kesempatan atas hakikat bahawa mereka berada di bawah kerajaan yang sama dan oleh itu tidak akan disaman atas kecuaian antara satu sama lain,” katanya.

 

Chong turut menegaskan, hasil pendapatan Sarawak Water adalah diperoleh daripada rakyat Sarawak, justeru sebagai utiliti awam, perkhidmatannya tidak boleh dikompromi akibat kecuaian dalam pelaksanaan projek kerajaan.

 

“Saya berharap akan ada lebih banyak akauntabiliti dan tanggungjawab dalam pelaksanaan projek KUTS,” tegas beliau. - DagangNews.com