Sarawak Metro mohon maaf atas gangguan bekalan air akibat kerja pembinaan KUTS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak Metro mohon maaf atas gangguan bekalan air akibat kerja pembinaan KUTS

Paip air bawah tanah yang rosak di Jalan Canna, Kuching. - Gambar Sarawak Water Sdn Bhd
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUCHING 23 Sept - Sarawak Metro Sdn Bhd sedang mengambil langkah untuk mempercepatkan kerja-kerja membaiki paip air bawah tanah yang rosak di Jalan Canna di sini.

 

Syarikat itu berkata ia bekerjasama rapat dengan usahasama Perbena Emas Sdn Bhd dan CRBC (M) Sdn Bhd, kontraktor Pakej Laluan Biru Kuching Urban Transportation System (KUTS), dalam kerja-kerja pembaikan tersebut.

 

Paip besi mulur berdiameter 600mm itu telah rosak semasa aktiviti pembinaan projek KUTS pada petang Isnin (22 Sept).

 

Sarawak Metro memohon maaf kepada komuniti yang terjejas akibat gangguan bekalan air disebabkan kejadian tersebut.

 

“Walaupun semua langkah berjaga-jaga telah diambil untuk mengelakkan kejadian sebegini, kemalangan masih boleh berlaku, terutamanya dalam kes di mana sebahagian utiliti tidak dipetakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sarawak Metro berkata pihaknya kini menumpukan usaha untuk meminimumkan gangguan terhadap perkhidmatan utiliti ketika pembinaan projek KUTS semakin giat dijalankan.

 

“Ini merupakan salah satu cabaran terbesar bagi projek KUTS ketika ini, khususnya dengan jumlah kerja-kerja pemindahan utiliti yang terlibat sepanjang jajaran 70km bagi fasa pertama projek ini,” katanya.

 

Sarawak Metro turut berkata pihaknya sentiasa menilai semula protokol operasi bagi meningkatkan koordinasi antara kontraktor dan memperkukuh pengawasan di tapak bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

 

Ia menambah, ini adalah sebagai tambahan kepada libat urus berterusan dengan pembekal utiliti serta kontraktor mereka, khususnya sebelum kerja pengorekan dijalankan berhampiran paip dan kabel bawah tanah yang dipetakan.

 

“Kami amat menghargai kerjasama rapat yang diberikan oleh agensi kerajaan berkaitan dan pembekal utiliti dalam memastikan projek KUTS dapat dilaksanakan dengan lancar,” tambah kenyataan itu.

 

Terdahulu, Sarawak Water Sdn Bhd berkata kerja-kerja pembaikan di Jalan Canna dilanjutkan pada hari ini berikutan masalah teknikal yang tidak dijangka.

 

Kerja pembaikan bermula pada 9.30 malam Isnin dan pada awalnya dijadualkan siap pada 6.30 pagi Selasa. - DagangNews.com