KUALA LUMPUR 25 Feb — Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menafikan berlaku sebarang ketirisan atau penyelewengan dalam pelaksanaan inisiatif MyDigital ID, sebaliknya menegaskan kelemahan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 1/2026 berpunca daripada kekeliruan pentadbiran susulan penstrukturan semula jawatankuasa.
Menterinya, Datuk Chang Lih Kang berkata, perbelanjaan bagi Projek Identiti Digital Nasional (JKT IDN) yang menjadi rangka kerja kepada sistem MyDigital ID telah dibentangkan kepada jawatankuasa pemandu dan jawatankuasa teknikal projek pada Februari 2024.
Menurut beliau, kedua-dua jawatankuasa berkenaan telah mengambil maklum butiran kewangan serta pelaksanaan projek tersebut sebelum tanggungjawab penyeliaannya diserahkan secara rasmi kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah Jabatan Perdana Menteri pada Mac 2024.
“MOSTI ingin menegaskan bahawa tiada sebarang ketirisan dalam tadbir urus atau perolehan yang dilaksanakan di bawah projek MyDigital ID. Projek ini telah dilaksanakan dan dikendalikan di bawah seliaan MKN,” katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara 1/2026 di Dewan Rakyat semalam.
Beliau mengakui laporan audit tersebut ada menyentuh mengenai “kelemahan” dalam pelaksanaan projek, namun menegaskan ia lebih menjurus kepada kekeliruan tadbir urus berikutan perubahan struktur jawatankuasa, sekali gus menyebabkan ketidakselarasan dalam proses membuat keputusan pada peringkat awal pelaksanaan.
“Tetapi kelemahan pentadbiran ini tidak melibatkan sebarang penyalahgunaan atau kehilangan dana,” katanya.
MyDigital ID merupakan inisiatif identiti digital nasional yang bertujuan menyediakan pengesahan identiti digital yang selamat dan dipercayai bagi membolehkan rakyat mengakses perkhidmatan kerajaan dan swasta secara dalam talian.
Platform berkenaan kini telah diintegrasikan dengan 92 aplikasi merangkumi sektor kerajaan dan swasta termasuk perbankan, telekomunikasi serta penjagaan kesihatan, dengan jumlah pengguna berdaftar mencecah 9.7 juta orang.
Inisiatif itu diuruskan oleh Mimos Bhd selaku pusat penyelidikan dan pembangunan gunaan negara.
Laporan Ketua Audit Negara 1/2026 sebelum ini membangkitkan kebimbangan terhadap struktur pengurusan dan pertindihan peranan jawatankuasa dalam pelaksanaan projek MyDigital ID, selain ketiadaan dokumentasi jelas dalam beberapa proses membuat keputusan.
Ia turut menandakan kelemahan prosedur berkaitan penyelarasan dan pengawasan sebelum penyeliaan projek dipindahkan kepada MKN, sekali gus mencetuskan persoalan dalam kalangan Ahli Parlimen mengenai aspek akauntabiliti dan kawalan risiko bagi inisiatif infrastruktur digital bernilai tinggi itu. - DagangNews.com








