KUALA LUMPUR 4 Mac – Momentum jualan yang semakin kukuh serta keterlihatan pendapatan sehingga 24 bulan menjadi faktor kritikal yang menyokong prospek SkyWorld Development Berhad menjelang FY27.
Penganalisis turut mengekalkan pandangan positif terhadap kumpulan itu, disokong kadar tinggi pengambilan projek, dan pelancaran baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM2 billion.
Antaranya, Mercury Securities yang menilai taklimat keputusan kewangan bagi sembilan bulan FY26 menunjukkan kemajuan operasi secara berterusan dengan keterlihatan jangka pendek semakin mantap.
"Curvo Residence mencatat kadar pengambilan 76%, manakala Vesta Residences meningkat kepada 90% walaupun berdepan penukaran kontraktor, dengan impak margin dianggap terkawal," kata firma itu.
SkyWorld jelasnya, sudah melancarkan empat projek dengan GDV yang terkumpul RM1.8 bilion dan kadar pengambilan positif, menjadikan jumlah GDV direalisasikan setakat ini mencecah RM2.8 bilion.
Bagi FY27 kata Mercury Securities, pelancaran utama termasuk SkyWorld Cassia di Batu Kawan, Pulau Pinang (GDV RM1.3 bilion) dan X-Premier Series di Mont Kiara, Kuala Lumpur (GDV RM1.3 bilion).
Di Vietnam pula tambahnya, projek District 8 disasarkan selesai transaksi tanah pada 2026 dan dilancarkan pada 2027, manakala rundingan bagi projek Sai Gon Thuan An Central masih berjalan.
"Secara keseluruhan, bank tanah Vietnam seluas 1.45 hektar dianggarkan membawa GDV RM1.1 billion, dan kemajuan fasiliti bernilai RM82.7 juta di Batu Kawan turut berada di landasan tepat," katanya.
Mercury Securities melihat fasiliti ini yang dijangka bermula operasi menjelang 3QFY27, sebagai alat perlindungan margin melalui pengurangan kos logistik dan peningkatan kecekapan pelaksanaan.
Firma itu mengekalkan unjuran hasil dan mengurangkan sedikit harga sasaran (TP) kepada 57 sen daripada 58 sen, dengan saranan 'beli' dikekalkan susulan hasil dividen FY27 diunjur pada 4.9%.
TA Securities menekankan lonjakan jualan 3QFY26 kepada RM577.7 juta, menjadikan angka terkumpul 9MFY26 sebanyak RM844.6 juta, dengan kadar pengambilan keseluruhan pada 86.1% setakat akhir 3QFY26.
"Antara projek terbaharu SkyWorld termasuk SkyAwani PRIMA Brickfields (GDV RM192 juta), SkyAwani 6 Setapak (GDV RM191.4 juta) dan SkyWorld Pearlmont Fasa 1 (GDV RM789.5 juta)," tambahnya lagi.
Kumpulan pemaju hartanah tersebut kata firma penyelidikan itu, sudah memenuhi sasaran pelancaran FY26 melebihi RM2 bilion GDV, dengan jualan tahun setakat ini (YTD) berjaya melepasi RM1 bilion.
Buku jualan belum dibil sebanyak RM1.1 bilion menyediakan perlindungan hasil 2.8 kali unjuran hasil FY26, dan menyokong peningkatan prestasi 4QFY26 apabila projek memasuki fasa pengebilan aktif.
Bagi FY27 pula kata TA Securities, saluran pelancaran projek dijangka melebihi RM2 bilion GDV termasuk SilverLake Residences di Kuala Lumpur dan Cassia Batu Kawan Fasa 1 di Pulau Pinang.
"Kami mengekalkan unjuran hasil FY26 hingga FY28 dan menjangka pertumbuhan keuntungan bersih teras terkumpul (CAGR) 35%, disokong penukaran jualan terkunci serta sumbangan projek baharu," katanya.
Ia turut tidak mengubah saranan 'beli' dan TP pada 76 sen sesaham, berdasarkan momentum jualan kukuh, pelancaran berskala besar serta inisiatif pembinaan berindustri menjelang FY27. - DagangNews.com








