Mohd Shukri Ishak dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarang Bernama mulai 22 Julai 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mohd Shukri Ishak dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarang Bernama mulai 22 Julai 2025

Mohd Shukri Ishak menerima surat pelantikan daripada CEO Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin disaksikan oleh Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di Kuala Lumpur pada 21 Julai 2025. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR 21 Julai - Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini mengumumkan pelantikan Mohd Shukri Ishak sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita yang baharu, berkuat kuasa esok.

 

Mohd Shukri, 53, akan menggantikan Nasriah Darus yang bersara wajib hari ini.

 

Mohd Shukri sebelum ini menyandang jawatan Editor Eksekutif menanggung tugas Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa.

 

Mohd Shukri yang berasal dari Kedah telah berkhidmat di Bernama sejak 1 Mei 1996, bermula sebagai eksekutif editorial. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Komunikasi) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau pernah bertugas sebagai Ketua Biro Bernama Pahang dan Pewarta Luar Indonesia, selain pernah menjawat jawatan Editor Eksekutif Meja Digital Media dan Ketua Penyiaran (TV dan Radio) Bernama.

 

Mohd Shukri juga merupakan Setiausaha Agung Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI), Penolong Setiausaha Persatuan Wartawan Malaysia, Timbalan Presiden Kelab Kakitangan Bernama (KKB) dan menganggotai Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bernama (Wakil Pengurusan). - BERNAMA