KUALA LUMPUR 18 Julai - MIMOS Bhd umum pelantikan Dr Saat Shukri Embong sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, berkuat kuasa 14 Julai 2025.
MIMOS berkata Shukri merupakan seorang pemimpin yang dihormati dengan pemahaman mendalam dalam inovasi dan pengkomersialan teknologi.
Menurut MIMOS, beliau turut membawa pengalaman yang luas ke dalam peranan baharunya sebagai ketua institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) terkemuka negara.
“Di bawah kepimpinan Shukri, MIMOS berada pada landasan yang kukuh untuk mempercepatkan sumbangannya terhadap kemajuan teknologi negara, memastikan Malaysia kekal di barisan hadapan dalam inovasi dan transformasi digital,” kata MIMOS dalam kenyataan hari ini.

Permulaan kerjaya dan pengalaman industri
Shukri memulakan kerjayanya di Motorola Inc. pada tahun 1995, diikuti dengan peranan di ON Semiconductor Inc. pada tahun 1998 sebagai pengurus program pengenalan produk baharu.
Pengalamannya dalam industri semikonduktor merangkumi jawatan penting di STATSChipPAC Inc., Infineon Technologies AG, Texas Instruments Inc., dan Freescale Semiconductor Inc. sehingga tahun 2008.
Pada tahun 2009, Shukri menyertai Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia untuk Teknologi Tinggi (MIGHT) dan pada tahun 2010, beliau dipinjamkan ke Pejabat Perdana Menteri sebagai pengarah operasi di bawah Penasihat Sains kepada Perdana Menteri.
Peranan dalam MIMOS
Perjalanan beliau bersama MIMOS bermula pada tahun 2010 sebagai pengarah penyelidikan, di mana beliau menerajui pelbagai program kerjasama dengan industri, universiti dan institusi penyelidikan tempatan serta antarabangsa.
Pada tahun 2013, beliau mengetuai kumpulan pembangunan dan pengurusan portfolio teknologi dan produk, memantau aktiviti strategik daripada risikan pasaran dan pengenalpastian teknologi hingga kepada pengkomersialan hasil R&D.
Pada tahun 2016, beliau memainkan peranan penting dalam menerajui Pejabat Strategi MIMOS, merangka halatuju strategik syarikat terutamanya dalam penyelarasan dengan Revolusi Industri Keempat dan aspirasi negara untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan 20 negara teratas menjelang tahun 2050.
Terkini, pada tahun 2023, beliau berkhidmat sebagai ketua sektor usaha teknologi, memacu kolaborasi, perkongsian, pengkomersialan serta inisiatif pembangunan bakat.
Shukri memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal, Ijazah Sarjana Kejuruteraan dalam bidang Mekatronik dari University of Hartford, Amerika Syarikat, dan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Kebangsaan Malaysia. - DagangNews.com








