Mi Technovation sasar pertumbuhan jualan 15–20% pada FY26, disokong permintaan kukuh segmen semikonduktor, kata PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mi Technovation sasar pertumbuhan jualan 15–20% pada FY26, disokong permintaan kukuh segmen semikonduktor, kata PublicInvest

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Nov– Mi Technovation Bhd menjangka pertumbuhan jualan antara 15% hingga 20% bagi tahun kewangan 2026 (FY26), dipacu sumbangan lebih kukuh daripada segmen Semiconductor Equipment Business Unit (SEBU) dan Semiconductor Material Business Unit (SMBU).

 

Dalam satu nota penyelidikan, PublicInvest Research berkata unjuran positif itu dibuat selepas syarikat penyelesaian semikonduktor berpangkalan di Pulau Pinang itu mencatat pemulihan prestasi pada suku ketiga.

 

“Pertumbuhan ini akan disokong oleh peningkatan penggunaan teknologi advanced packaging, manakala Semiconductor Solution Business Unit (SSBU) dijangka memasuki fasa pengeluaran besar-besaran menjelang akhir 2026,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘outperform’ terhadap saham Mi Technovation dengan harga sasaran RM4.05.

 

SEBU Catat Pertumbuhan Jualan 97% YoY

Pada suku berkenaan, segmen SEBU mencatat pertumbuhan jualan 97% tahun ke tahun, didorong permintaan tinggi terhadap mesin Mi Series Die Sorter dalam segmen mobiliti dan peranti boleh pakai di semua rantau.

 

Semua unit operasi kecuali Mi Equipment Korea menyumbang secara positif kepada SEBU, dengan Mi Equipment Malaysia menyumbang lebih 87% daripada keseluruhan segmen.

 

Segmen SMBU turut mencatat pertumbuhan 12% YoY, dipacu permintaan lebih kukuh dalam:

  • Mobiliti dan peranti boleh pakai

  • Pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) dan memori

  • Automotif dan tenaga boleh diperbaharui

 

PublicInvest Research berkata kilang Accurus Taiwan, anak syarikat Mi Technovation, kini beroperasi pada penggunaan kapasiti maksimum, manakala Accurus China dijangka menyaksikan lonjakan volume pengeluaran bulan depan selepas memperoleh kelayakan baharu.

 

“Accurus China dijangka mencapai titik pulang modal pada suku keempat, dan menyumbang secara positif pada FY26.

 

“Mi Korea pula dijangka mencatat kerugian lebih kecil susulan pemindahan sebahagian proses mesin bonding ke kilangnya di Suzhou dan Penang,” tambah firma itu.

 

Dengan peningkatan permintaan dalam segmen mobiliti, automotif dan semikonduktor global, Mi Technovation kekal berada pada landasan pertumbuhan mampan memasuki 2026. - DagangNews.com