Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya jual 7 juta saham Timberwell, masih ada baki 14.2 juta ekuiti | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya jual 7 juta saham Timberwell, masih ada baki 14.2 juta ekuiti

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Feb – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menjual tujuh juta saham biasa dalam Timberwell Berhad, menurut makluman syarikat kepada Bursa Malaysia.


Pelupusan tersebut dilaksanakan melalui transaksi perniagaan secara langsung pada 5 Februari 2026 dan melibatkan kepentingan terus mewakili sebahagian pegangan peribadinya dalam syarikat itu.


Selepas transaksi berkenaan, jumlah pegangan saham Ahli Parlimen Bintulu itu menurun kepada 14,210,322 unit, bersamaan kira-kira 15.96% daripada keseluruhan jumlah saham Timberwell yang diterbitkan.

 

 

 

 

 


"Beliau tiada sebarang pegangan tidak langsung atau pegangan dianggar melalui pihak berkaitan," tambah kumpulan pengurusan komoditi perkayuan hutan yang berpangkalan di Kuching, Sarawak itu.


King Sing, 63, sebelum ini pernah dilantik sebagai Pengarah Urusan dan Pengarah Eksekutif Timberwell, yang sudah ditubuhkan sejak 1971 sebelum disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 1997. 


Bagaimanapun, beliau yang juga ADUN Dudong di Sarawak, melepaskan jawatan tersebut pada 3 Januari 2023, seiring komitmen lain, termasuk peranan politiknya sebagai menteri kerajaan Persekutuan.

 

 

 

 

 


Makluman ini dibuat selaras dengan Seksyen 138 Akta Syarikat 2016, yang menghendaki semua pemegang saham utamanya untuk melaporkan sebarang perubahan kepentingan dalam syarikat tersenarai awam.


Timberwell menekankan bahawa transaksi ini tidak menjejaskan operasi syarikat dan pemegang saham lain, serta terus memantau aktiviti dan mengekalkan ketelusan pengurusan saham. - DagangNews.com