KUALA LUMPUR 30 Mac — Media Chinese International Limited melupuskan hartanah anak syarikatnya, Ming Pao Holdings (Canada) Limited di Toronto, Kanada pada harga C$9.9 juta (RM28.65 juta).
Menurut makluman kumpulan media berkenaan kepada Bursa Malaysia hari ini, subsidiary milik penuh tidak langsungnya itu sudah memeterai perjanjian jual beli rasmi dengan Cyclone Range Hoods Inc.
Hartanah itu, terletak di 1355 Huntingwood Drive, Toronto, merangkumi sebidang tanah seluas 0.8 hektar bersama sebuah bangunan industri setingkat dengan keluasan lantai kasar 3,709 meter persegi.
"Pembelinya merupakan sebuah syarikat berpangkalan di Ontario, Kanada," katanya. Pada 16 Januari 2026, Media Chinese International mengumumkan penutupan syarikat akhbar berbahasa Mandarin itu.
Ming Pao yang berada di pasaran Kanada Selma 32 tahun itu menamatkan operasi hariannya mulai 1 Februari 2026 dengan melibatkan perbelanjaan RM16.23 juta termasuk pampasan kepada 60 pekerjanya.
Dalam pada itu, kumpulan tersebut menambah, langkah pelupusan aset berkenaan dijangka memberikan keuntungan yang tidak diaudit sebanyak kira-kira C$8.2 juta (RM23.75 juta) kepada hasil syarikat.
Artikel berkaitan: Media Chinese International tutup operasi akhbar di Kanada mulai 1 Februari 2026 selepas 32 tahun
Jelas Media Chinese International, angka keuntungan daripada urus niaga penjualan tersebut dikira berdasarkan kepada perbezaan antara harga jualan dengan nilai buku bersih hartanah berkenaan.
"Langkah ini perlu diambil susulan keputusan kumpulan itu untuk terus menghentikan kesemua operasi medianya di Kanada yang berkuat kuasa awal Februari lalu," tambahnya menerusi makluman tersebut.
Memandangkan hartanah itu yang sebelum ini berfungsi sebagai pejabat operasi Ming Pao dan kemudahan percetakan akhbar tidak lagi diperlukan, lembaga pengarah menyifatkan pelupusan ini sebagai wajar.
Usaha penjualan hartanah berkenaan kata Media Chinese Internationl, merupakan peluang terbaik bagi kumpulan mencairkan aset dan memperuntukkan sumber kewangan kepada keperluan perniagaan yang lain.
Ia bercadang untuk menggunakan hasil bersih daripada pelupusan tersebut, selepas ditolak segala kos berkaitan, sebagai modal kerja am kumpulan dalam tempoh 12 bulan selepas transaksi itu selesai.
"Urus niaga penjualan ini tidak memerlukan kelulusan daripada pemegang saham dan dijangka dapat dimuktamadkan secara sepenuhnya selewat-lewatnya pada 3 Ogos 2026," kata kumpulan media tersebut.
Selain itu kata Media Chinese International, pelupusan ini juga tidak mempunyai sebarang kesan material terhadap modal saham atau pegangan saham pemegang saham utama. - DagangNews.com








