Media Chinese International tutup operasi akhbar di Kanada mulai 1 Februari 2026 selepas 32 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Media Chinese International tutup operasi akhbar di Kanada mulai 1 Februari 2026 selepas 32 tahun

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 JanMedia Chinese International Limited menghentikan operasi akhbar hariannya di Kanada bermula 1 Februari 2026, sebagai sebahagian penstrukturan semula strategik perniagaan.


Kumpulan itu berkata, penutupan operasi berkenaan akan melibatkan perbelanjaan sekali sahaja dianggarkan tidak kurang AS$4 juta (RM16.23 juta), termasuk pampasan pemberhentian kakitangan.


Jelas syarikat media tersebut, segala kos berkenaan akan direkodkan dalam penyata untung rugi yang disatukan menerusi laporan kewangan kumpulan bagi tempoh suku keempat berakhir 31 Mac 2026.


"Perubahan ketara tingkah laku audiens yang beralih ke platform digital dan secara dalam talian menjadi antara faktor utama keputusan penamatkan operasi," maklumnya kepada Bursa Malaysia hari ini.


Lembaga Pengarah Media Chinese International berkata, kumpulan tersebut bagaimanapun dapat berkhidmat kepada ramai pembacanya dari kalangan etnik Cina di pasaran Kanada selama 32 tahun.


Langkah itu juga jelasnya, bertujuan membolehkan kumpulan tersebut mengoptimumkan sumber, selain menumpukan perhatian pengurusan dan modal kepada pasaran teras serta inisiatif digital baharu.

 

Artikel berkaitan: Media Chinese tutup Life Publishers secara sukarela setelah 55 tahun di pasaran


Syarikat berkenaan menerbitkan akhbar harian berbahasa Cina dikenali Ming Pao Daily News edisi Kanada untuk pembaca di dua bandar raya utama iaitu Toronto, Ontario dan Vancouver, British Columbia.


Media Chinese International menegaskan keputusan tersebut adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan para pemegang saham, namun menasihatkan pelabur tidak bimbang dengan dagangan sahamnya.


Pada 9 Januari 2026, kumpulan berkenaan bertindak menutup anak syarikat milik penuhnya yang sudah tidak aktif lagi di pasaran tempatan, Life Publishers Berhad setelah 55 tahun beroperasi di Malaysia.


Subsidiri itu yang diuruskan Nanyang Press Holdings, ditubuhkan pada 1971 serta pernah menerbitkan lebih 20 penerbitan bercetak dan digital yang berbahasa Cina, termasuk akhbar tabloid, New Life Post.


Kumpulan media yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu, ditubuhkan sejak 1936, merupakan penerbit akhbar harian Cina iaitu Sin Chew Daily, China Press, See Hua Daily News dan Nanyang Siang Pau.


Selain itu, kumpulan ini turut menerbitkan banyak lagi akhbar Cina edisi tempatan dengan kerjasama beberapa pihak di Singapura, Indonesia, Thailand, Hong Kong dan China. - DagangNews.com