Media Chinese tutup Life Publishers secara sukarela setelah 55 tahun di pasaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Media Chinese tutup Life Publishers secara sukarela setelah 55 tahun di pasaran

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 JanMedia Chinese International Limited (MCIL) menutup anak syarikat milik penuhnya yang sudah tidak aktif lagi, Life Publishers Berhad setelah 55 tahun beroperasi di pasaran tempatan.


Kumpulan penerbitan berbahasa Cina itu berkata, langkah pembubaran subsidiari tersebut berikutan Mesyuarat Akhir diadakan pada 8 Januari 2026 yang memuktamadkan penggulungan secara sukarela.


"Proses ini mengikut Seksyen 459(3) & (5) Akta Syarikat 2016, serta dibubar secara rasmi selepas tiga bulan oleh pelikuidasi dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)," maklumnya kepada Bursa Malaysia.


Life Publishers yang diuruskan Nanyang Press Holdings, ditubuhkan pada 1971 serta pernah menerbitkan lebih 20 penerbitan bercetak dan digital dalam bahasa Cina, termasuk akhbar tabloid, New Life Post.


Antara judul penerbitan berkala popular yang pernah diterbitkan syarikat ini ialah Feminine, Life TV, New Tide, Special Weekly, Long Life, Rod & Line, Auto World, My Wedding, New Icon dan Track Guide.


Ia yang beribu pejabat di Petaling Jaya, Selangor, ketika era kegemilangannya terkenal sebagai platform penerbitan utama bagi media bercetak serta menjadi rujukan komuniti Cina di Malaysia.


"Pengumuman ini selaras dengan makluman pada 11 Julai 2024, yang memaklumkan niat kumpulan untuk menamatkan operasi Life Publisher melalui proses sukarela kerana tidak lagi aktif," kata MCIL.


Syarikat berkenaan menekankan langkah itu adalah sebahagian daripada penstrukturan semula bagi menumpukan sumber kepada operasi utama media dan digital, serta meningkatkan kecekapan korporat.


MCIL yang berpangkalan di Kuala Lumpur serta ditubuhkan sejak 1936, merupakan penerbit akhbar harian berbahasa Cina iaitu Sin Chew Daily, China Press, See Hua Daily News dan Nanyang Siang Pau.


Selain itu, kumpulan ini turut menerbitkan banyak lagi akhbar Cina edisi tempatan dengan kerjasama beberapa pihak di Singapura, Indonesia, Thailand, Hong Kong dan China. - DagangNews.com