Destini tukar peranan Shahril Mokhtar kepada Pengarah Eksekutif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Destini tukar peranan Shahril Mokhtar kepada Pengarah Eksekutif

Shahril Mokhtar
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Julai – Destini Bhd menukar peranan Datuk Seri Dr Shahril Mokhtar daripada Pengarah Urusan Kumpulan kepada Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa 21 Julai 2026.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Destini berkata, Shahril akan melepaskan tanggungjawab mengurus operasi harian kumpulan selepas berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Kumpulan sejak Januari 2026.

 

Perubahan itu membolehkan Shahril meneruskan sumbangan beliau kepada Destini menerusi peranan di peringkat lembaga pengarah dengan fokus kepada pandangan strategik, tadbir urus serta hala tuju jangka panjang syarikat.

 

Shahril mula menyertai Lembaga Pengarah Destini sebagai Pengarah Eksekutif pada 4 Disember 2025 sebelum dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan pada 6 Januari 2026.

 

Pengalaman Luas Dalam Sektor Korporat Dan Pengangkutan

Berusia 54 tahun, Shahril mempunyai pengalaman luas merangkumi sektor perbankan, pengangkutan, pembangunan infrastruktur, dasar awam dan kepimpinan korporat.

 

Beliau memulakan kerjaya bersama Maybank pada 1995 sebelum memegang beberapa jawatan kanan dalam bidang sumber manusia di PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia, British American Tobacco (Malaysia) Bhd dan Malaysia Airlines.

 

Beliau kemudiannya menyertai RapidKL sebagai Pengurus Besar Perancangan Korporat sebelum berpindah ke Jabatan Perdana Menteri pada 2009 sebagai penasihat di Unit Perancang Ekonomi (EPU).

 

Peneraju Projek Pengangkutan Awam Negara

Ketika berkhidmat di EPU, Shahril memainkan peranan penting dalam penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi badan tersebut.

 

Beliau selepas itu menerajui Prasarana Malaysia Bhd sebagai Pengarah Urusan Kumpulan, sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp).

 

Sepanjang tempoh menerajui MRT Corp, beliau bertanggungjawab mengawasi pembangunan dan pelaksanaan projek MRT Laluan 1 (Kajang) serta MRT Laluan 2 (Putrajaya), yang merupakan antara projek pengangkutan awam utama negara. - DagangNews.com