KUALA LUMPUR 4 Mac – MClean Technologies Berhad melalui anak syarikatnya, MClean Plastic Engineering Sdn Bhd (MPE) telah memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru terhadap M&C Precision Sdn Bhd kerana enggan mengosongkan premis kilang di Senai, Johor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MClean berkata writ saman dan penyata tuntutan telah diserahkan kepada M&C Precision pada 4 Mac 2026.
Kes ini direkodkan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.
Menurut MClean Technologies, masalah timbul selepas perjanjian berkongsi kemudahan antara kedua-dua pihak pada 1 Jun 2025 tidak dipatuhi oleh M&C Precision.
“Perjanjian itu sepatutnya membenarkan MClean Technologies menggunakan premis kilang yang disewa oleh M&C Precision untuk operasi syarikat.
“Apabila pemilik premis memutuskan untuk tidak memperbaharui sewaan M&C Precision, Clean Technologies telah menandatangani sewaan baharu pada 10 September 2025, berkuat kuasa 1 Oktober 2025.
“Walau bagaimanapun, M&C Precision masih berada di premis tersebut dan menghalang MClean Technologies daripada mengaksesnya,” katanya dalam makluman tersebut.
Dalam tuntutan itu, MClean Technologies menuntut bayaran kerugian khas sebanyak RM804,127.58 dan perintah larangan terhadap M&C Precision supaya tidak memasuki premis, tidak mengganggu pendaftaran utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad, dan tidak mengganggu operasi perniagaan MClean Technologies.
MClean Technologies juga menuntut kerugian am, faedah sebelum dan selepas penghakiman pada kadar 5% setahun, serta kos guaman dan lain-lain perintah yang sesuai mengikut budi bicara mahkamah.
Syarikat memaklumkan bahawa selain daripada jumlah tuntutan dan kos guaman, kes ini tidak dijangka memberi impak kewangan atau operasi yang besar kepada MClean Technologies dan anak syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
MClean Technologies menegaskan bahawa syarikat telah mendapatkan nasihat guaman dan akan membuat pengumuman lanjut kepada Bursa Malaysia sekiranya terdapat perkembangan baharu dalam kes ini. - DagangNews.com








