KUALA LUMPUR 13 Mei – Tasco Berhad semakin pulih disokong kenaikan ketara kadar penghantaran udara global, namun segmen rantaian bekalan sejuk masih terus menjejaskan prestasi kumpulan bagi 4QFY26.
MBSB Research berkata, peningkatan kadar tambang udara sejak Mei 2026 dijangka memacu utama kepada pemulihan pendapatan syarikat, ketika gangguan kapasiti kargo udara antarabangsa terus berlaku.
Justeru, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham kumpulan ini dengan harga sasaran (TP) tidak berubah iaitu 56 sen sesaham, berdasarkan 10 kali gandaan pendapatan sesaham (EPS) bagi FY27.
"Pengurusan Tasco memaklumkan kebanyakan transaksi penghantaran kini dilakukan pada kadar semasa berikutan ketidaktentuan pasaran, sekali gus berpotensi meningkatkan hasil syarikat," tambahnya.
Bagi segmen penghantaran udara ujar MBSB Research, pertumbuhan pendapatan kumpulan didorong kadar tambang lebih tinggi walaupun jumlah tan kargo susut 5% tahun ke tahun (YoY) dalam suku keempat.
Jelasnya, sumbangan dijangka kukuh apabila beberapa laluan penghantaran udara dari Malaysia pada Mei 2026 mencatatkan kadar purata dua kali ganda lebih tinggi berbanding bagi tahun sebelumnya.
Firma penyelidikan itu berkata, keadaan penawaran ruang kargo udara global masih ketat kerana kapasiti kejuruteraan penerbangan lebih fokus kepada pesawat penumpang berbanding pesawat kargo.

"Pada masa sama, segmen penghantaran laut Tasco dijangka kembali mencatat pertumbuhan volum pada suku pertama FY27 selepas kadar barangan kembali melonjak bermula April 2026," ujar MBSB Research.
Tambahnya lagi, peningkatan itu didorong oleh faktor penyambungan semula aktiviti pembinaan pusat data (DC) kecerdasan buatan (AI) di Amerika Syarikat (AS) selepas tempoh perlahan musim sejuk.
Kata firma penyelidikan berkenaan, walaupun hasil penghantaran laut didapati lebih lemah akibat penurunan kadar barangan sebelum ini, volum kontena meningkat 4% YoY dalam tempoh 4QFY26 pula.
Bagaimanapun jelas MBSB Research, kadar penghantaran Tasco kini meningkat semula dengan kekuatan luar biasa termasuk bagi laluan intra-Asia utama seperti Shanghai-Hong Kong di pasaran China.
"Sementara itu segmen rantaian sejuk kekal menjadi kebimbangan terbesar kumpulan tersebut apabila hasil dan keuntungan operasi masing-masing merosot 6.2% dan 44.4% dalam suku keempat," tambahnya.
Kemerosotan ini berpunca akibat kehilangan pelanggan utama sektor makanan dan minuman (F&B) selain cabaran operasi dalam usaha menjadikan zon bebas halal syarikat itu sebagai hab halal serantau.
Susulan itu, Tasco akan mengecilkan operasi rantaian sejuk di Westports dan menjangkakan kadar penggunaan meningkat melebihi 85% selepas proses penstrukturan semula selesai. - DagangNews.com








