KUALA LUMPUR 16 Feb – Penyusutan margin rizab penjanaan elektrik negara kepada 29%, iaitu paras terendah sejak 2016, menjadi isyarat kritikal Malaysia memasuki kitaran pelaburan kapasiti asas.
Menurut CGS International (CGSI), pengumuman Suruhanjaya Tenaga (ST) pada 13 Februari 2026 mengenai pemenang permintaan cadangan (RFP) loji janakuasa gas menandakan permulaan luas sektor utiliti.
Kata firma tersebut, di bawah Kategori 1 iaitu lanjutan konsesi dan kapasiti tambahan fasiliti yang sedia ada, sebanyak sembilan bidaan berjaya dipilih melibatkan kapasiti keseluruhan 4,869MW.
"Antara penerima utama ialah Malakoff Corporation Berhad dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang masing-masing dengan tiga kemenangan," kata firma penyelidikan tersebut dalam nota kajian hari ini.
Bagi Kategori 2 iaitu kapasiti penjanaan baharu, TNB menerusi konsortium bersama Aurora Power Generation Sdn Bhd muncul pemenang tunggal bagi pembangunan loji turbin gas kitaran gabungan.
Kesemua kapasiti 1,400MW di Paka, Terengganu itu tambah CGSI, dijadual dapat ditauliahkan secara berperingkat antara 2026 hingga 2028, dan ini merupakan tender kompetitif utama pertama sejak 2012.
Perkembangan tersebut jelas firma berkenaan, memandangkan Malaysia tidak pernah langsung memerlukan sebarang kapasiti baharu sebelum ini susulan margin rizab yang kekal selesa iaitu melebihi 30%.
"Bagaimanapun trend itu berubah sejak 2021 apabila pertumbuhan permintaan yang kukuh menghakis lebihan bekalan, sekali gus memerlukan pelaburan baharu bagi menggantikan loji lama," katanya.
Langkah tersebut kata CGSI, dijangka dapat memastikan kesinambungan bekalan elektrik stabil ketika Malaysia melaksanakan peralihan ke arah tenaga boleh diperbaharui (RE) secara berperingkat.
Penganugerahan tender tersebut tambahnya, berkemungkinan diikuti dengan lebih banyak keputusan pembekalan tenaga serta projek pembinaan loji baharu dalam beberapa tahun yang akan datang.
Sehubungan itu, firma berkenaan mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor utiliti, serta menyifatkan Malaysia berada dalam kitaran pelaburan paling menarik untuk tempoh lebih 10 tahun.
"Sektor ini bukan lagi sekadar didorong tenaga solar, sebaliknya berkembang merangkumi kapasiti muatan asas, infrastruktur gas, RE, sistem simpanan tenaga dan naik taraf grid," jelas CGSI.
Usaha itu disokong keterlihatan permintaan jangka panjang serta hala tuju dasar yang jelas, dengan ia menamakan TNB dan Malakoff sebagai pilihan utama, memandangkan mereka pada kedudukan strategik.
Kedua-dua syarikat berkenaan kata firma penyelidikan tersebut, berupaya memanfaatkan pertumbuhan melalui pendapatan secara terkawal serta pendedahan kepada projek kapasiti boleh hantar dan RE.
Justeru tambah CGSI, antara pemangkin penarafan semula sektor utiliti termasuk pelaksanaan dasar yang lebih lancar bagi mempercepatkan usaha perluasan kapasiti tenaga tanpa sebarang masalah.
"Risiko penurunan pula melibatkan kemungkinan gangguan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) serta perubahan kawal selia yang tidak memihak industri," katanya. - DagangNews.com








