Margin IOI Corporation terjejas akibat saingan sengit Indonesia, penganalisis ramal prospek 2HFY26 perlahan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Margin IOI Corporation terjejas akibat saingan sengit Indonesia, penganalisis ramal prospek 2HFY26 perlahan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Feb – Prospek IOI Corporation Berhad bagi separuh kedua tahun kewangan 2026  dijangka lebih perlahan apabila dua firma penyelidikan memberi amaran mengenai tekanan margin.


Mereka menilai segmen hiliran serta faktor bermusim boleh menjejaskan pengeluaran dan keuntungan, walaupun prestasi pada separuh pertama (1HFY26) disifatkan kukuh serta menepati jangkaan.


Kebimbangan tertumpu kepada penyusutan output minyak sawit mentah (MSM) secara bermusim, kos unit lebih tinggi dan persaingan sengit daripada pemain Indonesia dalam segmen penapisan dan oleokimia.


Antaranya, Public Investment Bank (PublicInvest) yang terus mengekalkan saranan ‘neutral’ ke atas IOI Corporation dengan harga sasaran (TP) iaitu RM4.18 berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOP).


"Ia merekodkan keuntungan teras 1HFY26 sebanyak RM812.8 juta, meningkat 11% tahun ke tahun (YoY) selepas melaraskan item luar biasa seperti kadar pertukaran mata wang asing (forex)," katanya.


Prestasi tersebut termasuk perubahan nilai saksama instrumen kewangan dan aset biologi, dengan kesemuanya merangkumi 59% daripada unjuran penuh tahun firma itu dan 58% anggaran konsensus.


Bagi 2QFY26 jelas PublicInvest, hasil meningkat kepada RM3 bilion daripada RM2.9 bilion, dipacu pertumbuhan jualan segmen perladangan (+20% YoY) dan pembuatan berasaskan sumber (+0.8% YoY).


Pengeluaran buah tandan segar (BTS) melonjak 13.8% YoY kepada 874,000 tan metrik manakala kadar perahan minyak bertambah kepada 21.74%, namun, harga purata MSM susut kepada RM4,224 satu tan.


"Keuntungan teras suku kedua naik 23% YoY kepada RM445 juta, didorong prestasi segmen pembuatan berasaskan sumber, manakala sumbangan syarikat bersekutu turut menyokong margin kukuh," jelasnya.


PublicInvest namun menjangka margin segmen penapisan dan oleokimia IOI Corporation kekal tertekan dalam persekitaran inventori tinggi dan persaingan sengit, yang mengehadkan potensi sahamnya.


Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan TP RM4.26 berasaskan unjuran 19 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) kumpulan tersebut pada FY26.


Firma itu menyatakan 1HFY26 mencatat keuntungan bersih teras RM783 juta (+24% YoY), bersamaan 56% daripada unjuran penuh tahun, disokong sumbangan kukuh segmen huluan hasil peningkatan output.


"Bagi 2QFY26, untung bersih dilaporkan naik kepada RM529 juta, sebahagiannya disumbang forex belum direalisasi, dan selepas pelarasan, keuntungan teras RM428 juta iaitu naik 42% YoY," jelasnya.


Maybank IB menambah, segmen huluan menyaksikan perolehan kasar meningkat 2% YoY kepada RM426 juta, dipacu pertumbuhan output BTS (+14% YoY), walaupun harga purata MSM pula adalah lebih rendah.


Segmen hiliran katanya, didapati kembali mencatat keuntungan kasar RM37 juta, disokong keuntungan nilai saksama derivatif serta sumbangan lebih tinggi daripada subsidiari, Bunge Loders Croklaan.


Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut menjangkakan 2HFY26 lebih mencabar berikutan penurunan bermusim output MSM, kos unit lebih tinggi serta prospek hiliran yang diunjur masih terus lemah.


"Kami berpandangan prestasi separuh pertama adalah kukuh selari jangkaan, namun berhati-hati terhadap risiko penyusutan margin dan keuntungan pada separuh kedua," katanya. - DagangNews.com