MARA sasar UPTM, UniKL disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun lagi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MARA sasar UPTM, UniKL disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun lagi

KUALA LUMPUR 10 Feb — Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan dua institusi pendidikan tinggi di bawahnya, iaitu Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata sasaran itu dibuat berdasarkan prestasi keuntungan semasa yang dicapai kedua-dua institusi tersebut.

 

“Kita telah menetapkan jeda waktu maksimum tiga tahun daripada sekarang berdasarkan kepada ‘track record’ (rekod prestasi) keuntungan yang menjadi prasyarat bagi penyenaraian (di Bursa Malaysia),” katanya kepada pemberita selepas sesi penggulungan Permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Syarikat Milikan Agensi Tahun 2026 di Kuala Nerus, Terengganu.

 

 

 

 

 

 

Ahmad Zahid berkata bagi mengekalkan prestasi kewangan kedua-dua entiti itu, jumlah keuntungan perlu dipertingkatkan antaranya melalui peningkatan jumlah pelajar termasuk dari luar negara.

 

Katanya, ia boleh dilakukan menerusi pemantapan kursus-kursus yang bersesuaian dengan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, Internet pelbagai benda dan robotik.

 

Beliau berkata sasaran itu selaras dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang merupakan anjakan besar bagi pembangunan bumiputera.

 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata tiga entiti kesihatan iaitu Uni Klinik, Uni Farmasi dan Uni Klinik Pergigian akan digabungkan menjadi sebuah entiti usahawan profesional MARA yang turut disasarkan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh yang sama.

 

“Kita juga berhasrat agar kumpulan usahawan MARA yang telah mendapat pembiayaan daripada MARA untuk membuka Uni Klinik, farmasi dan klinik pergigian akan disenaraikan sebagai entiti usahawan profesional yang dibimbing dan dibiayai oleh MARA.

 

“Kita mempunyai jeda waktu tiga tahun untuk ketiga-tiga entiti ini bagi disenaraikan (dalam Bursa Malaysia),” katanya.

 

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Permukiman KKDW dan Syarikat Milikan Agensi Tahun 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula Ahad lepas, telah menggariskan 28 ‘game changer’ atau inisiatif utama untuk dijadikan garis panduan sepanjang tahun ini bagi memacu pembangunan serta kesejahteraan luar bandar.

 

Katanya, antara inisiatif utama yang ditetapkan adalah pembangunan kawasan desa terpilih sebagai hab pelaburan bersepadu dengan ekosistem sokongan bagi menarik pelaburan bernilai tambah dan memperkukuh sosioekonomi.

 

 

 

 

 

Selain itu, beliau berkata KKDW akan menubuhkan sebuah kompleks tetap sebagai pusat sehenti komersial desa yang menghimpunkan produk, perkhidmatan dan aktiviti ekonomi komuniti setempat, dengan sasaran jualan tahunan melebihi RM14 juta.

 

“Kita harapkan pada tahun ini sebagai tahun pelaksanaan kepada semua perancangan yang telah dibuat untuk tiga tahun pertama,” katanya. — BERNAMA