Malaysia tidak kenakan tarif 47% ke atas import AS, purata hanya 5.6% - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia tidak kenakan tarif 47% ke atas import AS, purata hanya 5.6% - PM Anwar

KUALA LUMPUR 5 Mei (Bernama) - Perdana Menteri Datuk SeriAnwar Ibrahim menolak dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa Malaysia mengenakan tarif sebanyak 47% ke atas import negara itu ke Malaysia.

 

Beliau berkata, pengiraan itu dibuat berdasarkan nisbah mudah desit dagangan AS dengan Malaysia ketimbang jumlah importnya dari Malaysia pada 2024.

 

Anwar berkata, dakwaan itu telah digunakan sebagai asas oleh AS untuk mengenakan tarif timbal balas sebanyak 24% ke atas Malaysia iaitu pengurangan 50% ke atas tarif 47% yang dikata dikenakan oleh Malaysia ke atas import dari negara itu.

 

"Kita menganggap pengiraan ini tidak mencerminkan tahap tarif sebenar dan tidak berlandaskan teori ekonomi yang kukuh. Hakikatnya secara purata, tarif dikenakan ke atas import barangan AS ke Malaysia hanyalah pada kadar 5.6%.

 

"Ini diakui Pejabat Perwakilan Perdagangan Amerika Syarikat dalam laporan “2025 National Trade Estimate Report on Foreign Trade Barriers of the President of the United States on the Trade Agreements Program” yang diterbitkan 31 Mac 2025,” kata Perdana Menteri pada sesi penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berhubung tarif AS, hari ini.

 

Anwar memberi penerangan terperinci mengenai langkah serta perancangan kerajaan dalam mendepani tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif balas terhadap semua import ke negara itu. 

 

Penerangan itu menyentuh implikasi langsung tindakan AS terhadap ekonomi negara, termasuk sektor perdagangan dan pelaburan serta pendekatan proaktif kerajaan dalam menyelaras respons merentas kementerian dan industri. 

 

Anwar berkata kerajaan mengambil serius terhadap tindakan pengenaan tarif timbal balas oleh AS.

 

"Oleh itu, mengambil kira kepentingan AS sebagai destinasi eksport dan sumber pelaburan asing terbesar Malaysia, kerajaan berpendirian bahawa sebarang cabaran terhadap hubungan perdagangan perlu ditangani secara pragmatik dan berteraskan kepentingan negara, di samping mengekalkan hubungan baik dengan semua rakan dagang Malaysia," katanya. - BERNAMA