KUALA LUMPUR 6 Feb – Malaysia mungkin akan menerima lebih banyak pelaburan asing ke pasaran sahamnya selepas Moody’s menurunkan prospek kredit Indonesia yang menambah tekanan selepas amaran awal daripada MSCI, kata Hong Leong Investment Bank.
Firma penyelidikan itu berkata dana asing dijangka menyusun semula portfolio mereka yang akan memberi manfaat kepada Malaysia dan negara-negara ASEAN lain dalam Indeks Pasaran Membangun MSCI.
Thailand dan Filipina adalah dua lagi negara ASEAN yang tersenarai dalam indeks tersebut.
“Daripada ketiga-tiga negara ini, kami percaya Malaysia yang bakal mendapat manfaat paling banyak memandangkan ia merupakan pasaran berkembang ASEAN terbesar dalam indeks tersebut, selain mempunyai ‘risiko politik terendah’,” kata HLIB.
Pada Khamis, Moody’s menurunkan prospek penarafan kredit Indonesia kepada ‘negatif’ daripada ‘stabil’ berikutan isu standard tadbir urus dan keberkesanan dasar di negara itu, beberapa hari selepas MSCI menegaskan isu ketelusan yang mencetuskan kejatuhan pasaran.
Terdapat tanda-tanda menggalakkan untuk Malaysia apabila mencatat aliran masuk dana sebanyak RM1 bilion pada akhir bulan lepas.
Pelabur asing juga terus menjadi pembeli saham Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut sehingga 30 Jan.
“Filipina hanya menyumbang sekitar sepertiga daripada saiz Malaysia dalam indeks, manakala pilihan raya umum Thailand hujung minggu ini dijangka berakhir tanpa mana-mana parti utama memperoleh majoriti mutlak.
“Situasi itu mungkin mengekalkan ketidakstabilan politik di Thailand dan menghalang aliran masuk dana asing,” kata HLIB.
Firma penyelidikan itu berkata mereka kekal ‘optimis’ terhadap pasaran Malaysia di mana kekuatan dasar domestik telah menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan.
HLIB juga mengekalkan sasaran FBM KLCI akhir tahun pada 1,790. Indeks berada sekitar 1,730 pada pagi Jumaat. - DagangNews.com








