Majlis Pelaburan Negara lulus pelan terperinci Strategi Semikonduktor Nasional sasar bangunkan 110 syarikat tempatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Majlis Pelaburan Negara lulus pelan terperinci Strategi Semikonduktor Nasional sasar bangunkan 110 syarikat tempatan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 Feb — Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) telah meluluskan pelan terperinci di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) bagi membangunkan sebanyak 110 syarikat tempatan dalam aktiviti yang bernilai tinggi.

 

Ia diputuskan pada mesyuarat MPN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dengan meliputi syarikat yang terlibat reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju, dan pembuatan peralatan termaju.

 

Menurut kenyataan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), usaha tersebut turut merangkumi 10 syarikat tempatan berkaitan semikonduktor yang bakal menjana pendapatan tahunan antara RM1 bilion hingga RM4.7 bilion.

 

"Pelan ini juga berhasrat mewujudkan 100 syarikat semikonduktor berpendapatan tahunan sekitar RM1 bilion," katanya. NSS diluncurkan pada Mei 2024 untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
 

Langkah strategik tersebut jelas MITI, bermatlamat untuk meningkatkan lagi sumbangan sektor pembuatan kepada kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
 

Selain itu tambahnya, NSS juga akan menambah bilangan bakat pekerja mahir dan bergaji median dalam sektor pembuatan, seiring dengan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
 

Mengulas lanjut, MITI berkata, pelan ini menyasarkan anjakan strategik daripada pendekatan berasaskan pembuatan kepada teknologi, penyelidikan dan pembangunan serta kedaulatan teknologi; yang menjurus kemajuan industri melangkaui sektor pembuatan.
 

"Hasrat ini juga selaras dengan visi Ekonomi Madani untuk meningkatkan kebolehan industri tempatan dalam meneroka pasaran global menerusi peningkatan kapasiti pengeluaran cip bernilai tinggi yang akan meningkatkan kemahiran bakat serta pendapatan pekerja tempatan," katanya. 
 

Bagi memastikan pelaksanaan secara tuntas dengan keberhasilan yang nyata, dasar ini akan dilaksanakan melalui pendekatan berbentuk 'keseluruhan-Kerajaan'. 
 

Justeru, MITI akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Digital, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Kementerian Pendidikan Tinggi dan yang berkaitan.
 

Pada masa yang sama, bagi memperkukuhkan kerjasama sinergi dengan rakan kongsi asing dan rantau ASEAN ke arah memastikan rantaian bekalan global yang mampan dan berdaya tahan, MPN turut meluluskan diplomasi semikonduktor sebagai salah satu tonggak strategik NSS. 

Melangkah ke hadapan, MITI dan Kementerian Luar Negeri akan menjalinkan kerjasama dan kolaborasi yang lebih erat bagi menggerakkan diplomasi semikonduktor, serta inisiatif lain yang berkaitan bagi memperkukuhkan industri semikonduktor negara. - DagangNews.com