Mahkamah Tinggi tolak permohonan Petros, sahkan tuntutan jaminan bank RM7.95 juta oleh PETRONAS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahkamah Tinggi tolak permohonan Petros, sahkan tuntutan jaminan bank RM7.95 juta oleh PETRONAS

KUALA LUMPUR 25 Feb - Mahkamah Tinggi Kuching pada Rabu menolak permohonan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) untuk mencabar tuntutan jaminan bank berjumlah RM7.95 juta yang dibuat oleh Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).

 

Peguam PETRONAS, Datuk Dr Cyrus Das berkata mahkamah memutuskan bahawa Petros gagal membuktikan tuntutan jaminan bank itu sebagai tidak berpatutan atau menyalahi undang-undang.

 

“Ini bermakna tuntutan terhadap jaminan bank oleh PETRONAS telah diputuskan sebagai sah,” katanya kepada pemberita selepas prosiding.

 

Kes tersebut didengar di hadapan Hakim Datuk Faridz Gohim Abdullah, manakala Petros diwakili peguam Datuk Seri JC Fong.

 

Isu Perlembagaan Dirujuk ke Mahkamah Persekutuan

Menyentuh isu perlembagaan yang dibangkitkan, Cyrus berkata mahkamah memutuskan perkara itu berada di luar skop saman pemula yang difailkan.

 

Menurutnya, hakim memutuskan bahawa forum yang sesuai untuk menentukan kesahan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016 (DGO 2016) ialah Mahkamah Persekutuan.

 

“Mahkamah memutuskan bahawa persoalan perlembagaan berhubung PDA 1974 dan DGO 2016 hendaklah ditentukan di peringkat persekutuan. Pada 16 Mac, PETRONAS akan memohon kebenaran untuk merujuk perkara itu ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.

 

Mahkamah turut memerintahkan Petros membayar kos guaman sebanyak RM50,000 kepada PETRONAS.

 

 

 

 

 

 

Latar Belakang Kes

Sebelum ini, Petros memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuching bagi menghalang PETRONAS daripada membuat tuntutan terhadap jaminan bank tersebut.

 

Petros berhujah bahawa PETRONAS tidak mempunyai lesen yang diperlukan di bawah DGO 2016 Sarawak untuk beroperasi di negeri berkenaan. - BERNAMA