Mah Sing lancarkan projek perbandaran M Legasi bernilai RM3.3 bilion di Semenyih | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mah Sing lancarkan projek perbandaran M Legasi bernilai RM3.3 bilion di Semenyih

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Jun — Mah Sing Group Berhad hari ini melancarkan projek perbandaran M Legasi di Bandar Sri Kesuma, Semenyih, Selangor dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3.3 bilion.


Pemaju hartanah tersebut berkata, ia merupakan perbandaran pegangan bebas terbesar yang dibangunkan Mah Sing di Lembah Klang dengan berkeluasan 202.34 hektar dan memiliki tiga presint kediaman.


Katanya, ia meliputi Impira yang seluas 46 hektar, Adiya (40 hektar) dan Embun (120 hektar) serta terletak strategik antara Kajang dengan Seremban selain dilengkapi Legasi Walk sebesar 7.7 hektar.


"Kami dijangka menarik minat ramai pembeli rumah yang mencari gaya hidup jauh dari bandar dengan persekitaran yang damai untuk berehat," kata Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mah Sing, Lionel Leong.


Beliau memberi contoh Presint Impira dengan rumah teres dua tingkat, hab komersial dan Rumah Selangorku selain kemudahan seperti gimnasium luar, gelanggang serba guna dan halaman bermain.


Fasa 1 tambah beliau mempunyai sejumlah 330 unit kediaman, sementara Fasa 2 dengan kira-kira 256 unit dan Fasa 3 pula sebanyak 231 unit, manakala Fasa 4 dijadualkan untuk pembangunan masa depan.

 

Mah Sing


Lionel berkata, Legasi Walk yang terletak bersebelahan Impira, merupakan hab gaya hidup serta runcit dengan kemudahan harian, perkhidmatan penting selain perniagaan kedai makanan dan minuman.


Di samping itu, stesen pengecas kenderaan elektrik akan tersedia di lokasi yang ditetapkan dalam perbandaran manakala perbandaran GreenRE menampilkan 20 hektar kawasan hijau termasuk taman pusat.


"Sehingga 30 Mei 2025, kumpulan hartanah ini masih berjaya mengekalkan kedudukan kewangan kukuh dengan kira-kira RM1 bilion dalam baki bank tunai dan pelaburan jangka pendek," kata beliau.


Perkembangan itu tambahnya, dipacu oleh asas kewangan teguh dan kedudukan mudah tunai syarikat tersebut yang sihat membolehkan Mah Sing secara aktif mengejar peluang pertumbuhan baharu.


Kumpulan itu kata Lionel, sentiasa mencari bank tanah strategik untuk mengembangkan portfolio kediaman dan perindustrian terutama di kawasan pertumbuhan tinggi seperti Johor dan Pulau Pinang.


Antara pelancaran projek akan datang ialah M Aurora di Jalan Klang Lama dan M Aria di Sentul, Kuala Lumpur serta siri M Grand premium yang pertamanya, dengan M Grand Minori di Johor Bahru, Johor. 


Sementara itu, projek berterusan Mah Sing termasuk M Aspira di Taman Desa, M Azura di Setapak, M Terra di Puchong, M Nova dan M Zenya di Kepong, serta M Sinar di Southville City, Bangi. - DagangNews.com