Lebih 90% daripada buku tempahan RM241.3 juta Wasco Greenergy dijangka diiktiraf pada FY26 - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebih 90% daripada buku tempahan RM241.3 juta Wasco Greenergy dijangka diiktiraf pada FY26 - Maybank IB

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Feb – Wasco Greenergy Bhd mencatatkan prestasi lebih kukuh pada suku keempat tahun kewangan 2025 (4Q25), sekali gus mengatasi jangkaan penuh tahun kewangan 2025 (FY25) penganalisis, kata Maybank Investment Bank.

 

Keuntungan bersih teras syarikat sebanyak RM10 juta pada 4Q25 telah membawa jumlah keuntungan teras FY25 kepada RM29.3 juta, meningkat 27% tahun ke tahun.

 

Firma penyelidikan itu berkata, unit tenaga boleh baharu di bawah Wasco Bhd menunjukkan prestasi memberangsangkan susulan margin keuntungan kasar FY25 yang lebih tinggi daripada jangkaan iaitu 29.2%, didorong pengurusan kos lebih baik serta peningkatan kecekapan operasi.

 

Sehingga akhir Disember 2025, buku pesanan tertunggak Wasco Greenergy berjumlah RM241.3 juta. 

 

Maybank IB menjangkakan lebih 90% atau RM223 juta daripada jumlah itu akan diiktiraf dalam FY26, sekali gus memberi keterlihatan hasil dan pendapatan dalam tempoh terdekat serta mengurangkan risiko penurunan unjuran.

 

Pada masa sama, saham Wasco Greenergy diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (PE) FY26 sebanyak 10.6 kali, yang menurut 

 

Maybank IB berkata Belanjawan 2026 turut mengumumkan perancangan memperkenalkan tambahan kuota 300 megawatt bagi projek bio-tenaga dan hidro di bawah mekanisme FiT2.0. 

 

“Perkembangan ini dijangka memperluaskan lagi pasaran berpotensi keseluruhan bagi projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) biojisim syarikat.

 

“Wasco Greenergy kini menerajui pasaran penjana turbin stim dengan pegangan 17% di Malaysia dan 22% di Indonesia. Syarikat itu juga merupakan pemain kedua terbesar dalam pasaran dandang biojisim Malaysia dengan pegangan pasaran sebanyak 14%,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.

 

Di Malaysia, pasaran dandang biojisim dan turbin stim masing-masing dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 9% dan 8.1% bagi tempoh 2024 hingga 2029. 

 

Pertumbuhan ini dipacu oleh kilang dan loji kelapa sawit yang beralih kepada penyelesaian hijau bagi memenuhi sasaran penyahkarbonan.

 

Maybank IB berkata, peralihan itu dijangka mempercepatkan usaha penyahkarbonan sektor kelapa sawit di Malaysia dan Indonesia, sekali gus membuka potensi peningkatan kepada Wasco Greenergy, khususnya jika pengiktirafan projek berlaku lebih pantas dan penyiapan saluran aset tenaga boleh baharu dapat dipercepatkan.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu turut mengingatkan risiko pelaksanaan seperti kelewatan projek yang boleh menjejaskan masa pengiktirafan hasil serta risiko pengisian semula buku pesanan yang lebih rendah daripada jangkaan. 

 

Maybank IB membuat pelarasan minimum kurang 1% terhadap unjuran pendapatan FY26 hingga FY27 serta memperkenalkan anggaran FY28, dan mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran 85 sen berasaskan unjuran pendapatan sesaham FY26. 

 

Syarikat turut mengisytiharkan dividen dua sen sesaham, melebihi unjuran 1.4 sen pada kadar pembayaran 30%, namun Maybank IB mengekalkan andaian kadar pembayaran 30% bagi FY26 hingga FY28. - DagangNews.com