Langkah Sime Darby jimat kos pada FY25 tingkatkan aliran tunai operasi kepada RM5.29 bilion, kata CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Langkah Sime Darby jimat kos pada FY25 tingkatkan aliran tunai operasi kepada RM5.29 bilion, kata CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Feb – Pelbagai usaha penjimatan kos secara agresif yang dilaksanakan Sime Darby Berhad pada FY25 mula membuahkan hasil apabila aliran tunai operasi melonjak dengan ketara.


Menurut CGS International (CGSI), langkah tegas berkenaan sekali gus mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan tersebut di tengah-tengah persekitaran pasaran automotif dan industri yang mencabar.


Firma penyelidikan itu berkata, ia termasuk melibatkan pengoptimuman inventori bernilai RM2 bilion, rasionalisasi tenaga kerja yang melibatkan 2,000 kakitangan serta penutupan 26 cawangan di China.


"Perkembangan ini meningkatkan kecekapan modal kerja, dengan aliran tunai operasi Sime Darby pada FY25 melonjak kepada RM5.29 bilion berbanding hanya RM476 juta pada FY24," katanya dalam nota hari ini.


CGSI turut menilai penangguhan semakan cukai eksais Nilai Pasaran Terbuka (OMV) bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) kepada Julai 2026 akan menyokong permintaan pada separuh pertama FY26.


Keadaan tersebut tambah firma itu, sekali gus memberi manfaat kepada kumpulan ini yang memiliki banyak model dalam kalangan jenama utama di pasaran automotif seperti Perodua, Toyota dan BMW.


Penundaan OMV katanya, akan mencetuskan satu lagi gelombang permintaan ke atas kenderaan baharu, manakala sumbangan UMW Holdings Berhad kekal berdaya tahan disokong oleh kekuatan jualan Perodua.


"Selain itu, kami percaya, sentimen pasaran masih meremehkan ketahanan pegangan bahagian dikuasai Perodua sekitar 44%, walaupun persaingan kenderaan elektrik (EV) semakin meningkat," kata CGSI.


Dalam segmen industri, firma itu kekal positif terhadap prospek jangka panjang Sime Darby, didorong pelaburan infrastruktur di Australia, dan aktiviti perlombongan susulan harga tembaga yang tinggi.


Di samping itu, ia menilai potensi perbelanjaan modal berskala besar oleh pelanggan utama seperti BHP Group Limited, yang merancang meningkatkan pengeluaran tembaga di negara itu menjelang 2030.


Dalam pada itu, CGSI juga menjangkakan BMW Malaysia berpotensi tinggi mengisytiharkan dividen pada FY26, yang akan menyokong pendapatan dalam bahagian automotif tempatan kumpulan berkenaan.


"Pada masa sama, pegangan pasaran automotif Sime Darby di Malaysia kekal kukuh iaitu 60% pada 2025, disokong prestasi Perodua dan Toyota, termasuk sambutan positif terhadap model baharu," katanya.


Sehubungan itu, firma tersebut mengulangi saranan 'tambah' dengan harga sasaran kekal RM2.38, kerana saham kumpulan ini diniagakan pada sekitar 10 kali nisbah harga kepada pendapatan CY26.


Bagaimanapun, CGSI memberi amaran risiko penurunan utama termasuk pemulihan perlahan daripada unjuran dalam segmen industri serta jualan automotif yang lebih lemah. - DagangNews.com