KWSP perjelas kerugian 12 anak syarikat seperti dilaporkan LKAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KWSP perjelas kerugian 12 anak syarikat seperti dilaporkan LKAN

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 5 Feb - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menjalankan semakan terperinci susulan kerugian yang direkodkan oleh 12 syarikat subsidiarinya, seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang dikeluarkan semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

 

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata KWSP telah mengkategorikan kerugian ini kepada lima kategori utama berdasarkan faktor asas perniagaan dan pelaburan.

 

"Kategori pertama berkaitan dengan struktur modal. Dalam struktur modal ini, penggunaan pinjaman pemegang saham kepada subsidiari membolehkan KWSP menjana pulangan dalam bentuk faedah dengan lebih cekap dari segi percukaian dan pengurusan aliran tunai.

 

"Bagaimanapun, apabila keuntungan subsidiari dinilai selepas mengambil kira kos faedah, kerugian dicatatkan di peringkat entiti.

 

"Perlu ditekankan bahawa nilai pasaran aset dalam subsidiari ini melebihi kos perolehannya, menunjukkan bahawa asas pelaburan kekal kukuh dan kerugian yang dilaporkan adalah berkaitan perakaunan dan bukannya mencerminkan penurunan sebenar dalam nilai pelaburan," katanya semasa menggulung perbahasan mengenai laporan itu di Dewan Rakyat.

 

Menurut Chin Tong, kategori kedua melibatkan syarikat yang berada pada peringkat awal pelaburan, yang biasa dirujuk sebagai lengkung-J.

 

Katanya, kerugian awal pada peringkat ini adalah normal sebelum pelaburan matang dan mula menghasilkan pulangan stabil.

 

Beliau menambah pelaburan ini dijangka memasuki fasa pelupusan dan menjana pulangan yang ketara sekitar tahun 2027.

 

"Kategori ketiga berkaitan dengan pelarasan nilai wajar belum direalisasi. Kerugian yang dicatatkan di bawah kategori ini adalah berkaitan perakaunan dan tertakluk kepada turun naik berdasarkan keadaan pasaran semasa.

 

"Ia tidak melibatkan aliran tunai sebenar dan dijangka pulih sejajar dengan peningkatan sentimen dan keadaan pasaran pada masa hadapan," katanya.

 

Kategori keempat, katanya, berkaitan dengan struktur perniagaan, di mana sesetengah subsidiari mungkin mencatat kerugian, tetapi pelaburan keseluruhan masih menjana pulangan untuk KWSP melalui faedah dan dividen.

 

Chin Tong berkata nilai wajar pelaburan ini kekal jauh lebih tinggi daripada kos asal, menunjukkan kedudukan aset bersih yang positif dan ketahanan walaupun sesetengah entiti menghadapi cabaran.

 

"Kategori kelima merangkumi kerugian operasi, yang berlaku apabila pendapatan semasa tidak mencukupi untuk menampung kos komersial.

 

"Dalam beberapa kes, faktor luaran seperti kadar penghunian rendah, aset yang menua dan cabaran dalam sektor hartanah telah menjejaskan prestasi kewangan," katanya.

 

Beliau menambah bahawa sesetengah aset telah meningkat nilainya berbanding kos perolehan, mencerminkan potensi pemulihan jangka sederhana.

 

Bagi aset yang menghadapi cabaran, Chin Tong berkata KWSP sedang melaksanakan langkah proaktif, termasuk promosi lebih agresif untuk meningkatkan kadar penghunian, penambahbaikan komponen komersial, inisiatif baharu untuk menarik penyewa dan pengunjung, serta menyemak pilihan pelupusan di mana ia mungkin lebih menguntungkan bagi dana. - DagangNews.com