Kutipan cukai pendapatan 2026 diunjur cecah RM152.4 bilion berbanding RM141.8 bilion pada 2025, Dewan Rakyat diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kutipan cukai pendapatan 2026 diunjur cecah RM152.4 bilion berbanding RM141.8 bilion pada 2025, Dewan Rakyat diberitahu

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 Mac – Kutipan cukai pendapatan tahun ini diunjur mencecah RM152.42 bilion meliputi cukai individu dan syarikat, meningkat berbanding anggaran disemak RM141.89 bilion pada 2025.


Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, bagi 2025, kutipan cukai pendapatan individu dianggarkan sebanyak RM44.86 bilion manakala cukai pendapatan syarikat pula ialah RM97.03 bilion.


“Bagi tahun 2026 pula, kutipan cukai pendapatan individu dijangka meningkat 9.4% kepada RM49.07 bilion, manakala cukai pendapatan syarikat meningkat 6.5% kepada RM103.35 bilion,” katanya.


Beliau menjawab soalan lisan dikemukakan oleh Chong Chieng Jen (PH-Stampin) di Dewan Rakyat hari ini, yang ingin tahu jumlah pungutan cukai pendapatan individu dan syarikat bagi 2025 serta 2026.


Menurut Chin Tong, kutipan cukai jualan pada 2025 dianggarkan RM25.6 bilion dan cukai perkhidmatan RM30.3 billion, manakala bagi 2026 pula, unjuran masing-masing ialah RM26.6 bilion dan RM33 bilion.


Katanya, peningkatan unjuran hasil cukai didorong pertumbuhan gaji pekerja yang lebih stabil, peningkatan 13% bilangan pembayar cukai individu berdaftar, serta kadar pengangguran kekal rendah.


"Pelarasan gaji penjawat awam di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) turut menyumbang kepada pertambahan tersebut, selain pendapatan syarikat swasta yang lebih tinggi," tambah beliau.


Keadaan ini kata Chin Tong, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan serta pelaksanaan e-Invois secara berfasa mulai Ogos 2024 juga dijangka dapat meningkatkan kutipan cukai korporat.


Di samping itu jelas beliau, sistem berkenaan dijangka berupaya dalam mengurangkan masalah ketirisan yang kelazimannya berlaku sebelum ini dan memperkukuh pematuhan oleh pembayar cukai.


Bagaimanapun tambah beliau, data kutipan yang sebenar membabitkan hasil cukai langsung dan tidak langsung sepanjang tahun lalu boleh disemak melalui Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2025.


"Ia akan diterbitkan dan dimuat naik menerusi laman web Jabatan Akauntan Negara Malaysia pada awal suku keempat 2026, yang dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan," kata Chin Tong.


Di negara ini, kutipan cukai dikendalikan oleh dua agensi berbeza di bawah Kementerian Kewangan iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).


Sebaliknya, kutipan duti hiburan yang merupakan salah satu sumber hasil itu diserahhakkan kepada kerajaan negeri seperti yang termaktub di bawah Bahagian III, Jadual Kesepuluh. - DagangNews.com