KPDN rangka RUU ganti Akta Syarikat Amanah perkukuh ketelusan, tadbir urus – Dewan Rakyat dimaklumkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPDN rangka RUU ganti Akta Syarikat Amanah perkukuh ketelusan, tadbir urus – Dewan Rakyat dimaklumkan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 Mac – Kerajaan sedang merangka Rang Undang-Undang Syarikat Amanah (RUUSA) bagi menggantikan Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, langkah itu merupakan usaha kerajaan memperkukuh ketelusan dan integriti tadbir urus syarikat amanah swasta.


Reformasi menyeluruh itu sudah dimulakan sejak 2018 dan kini berada di peringkat penggubalan rang undang-undang (RUU) yang dijangka dibentangkan tahun ini selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri.


"RUUSA akan merangkumi empat kluster Utama, antaranya parameter aktiviti dan rejim pendaftaran mandatori," jelasnya ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya).


Selain itu menurutnya, RUU itu meliputi rangka kerja pelaporan pemunyaan benefisial; pentadbiran dan tadbir urus; serta mekanisme pemotongan nama, penyelamat korporat, penggulungan dan pembubaran.


Proses konsultasi awam kata Fuziah, sudah dimulakan pada 2 April 2024 termasuk sesi libat urus bersama-sama pemain industri, pelbagai kementerian dan agensi berkaitan pada Disember 2024.


Antara agensi terlibat tambah beliau, termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Bank Negara Malaysia (BNM) serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).


"Mengulas mengenai isu pelesenan pengurus dana pula, saya menjelaskan yang Akta 100 pada ketika ini hanya meliputi pendaftaran, pentadbiran dan tadbir urus entiti syarikat amanah," ujarnya.


Justeru, ia idak merangkumi pengawalseliaan aktiviti transaksi pelaburan, dan sebarang cadangan mewajibkan pelesenan pengurus dana bergantung kepada bidang kuasa agensi kawal selia berkaitan.


Dalam konteks amanah tunai atau 'cash trust', Fuziah berkata urusan tersebut merupakan hubungan persendirian antara pemberi amanah dan pemegang amanah di bawah Trustees Act 1949 (Akta 208).


Di bawah peruntukan sedia ada, pemegang amanah tidak diwajibkan berdaftar sebagai entiti berlesen serta dibenarkan untuk mengurus atau menjana hasil daripada harta amanah, termasuk amanah tunai.


"KPDN namu berpandangan aspek penyampaian maklumat dan khidmat nasihat kepada orang awam perlu diperkemas bagi mengelak kekeliruan skop kawal selia dan had perlindungan undang-undang," katanya.


Kerajaan jelas beliau, komited memastikan kerangka kawal selia lebih kukuh, responsif dan bersepadu bagi melindungi kepentingan rakyat serta memperkukuh keyakinan terhadap sektor amanah swasta. - DagangNews.com