Kontraktor LRT3 berdepan penalti RM475 juta susulan kelewatan operasi, Dewan Rakyat diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontraktor LRT3 berdepan penalti RM475 juta susulan kelewatan operasi, Dewan Rakyat diberitahu

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Mac – Kontraktor projek laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) boleh dikenakan penalti melebihi sebanyak RM475 juta setakat 31 Disember 2025, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penalti berbentuk ganti rugi kelewatan itu akan dikenakan susulan lanjutan tempoh siap projek tersebut yang berkuat kuasa pada 10 Julai 2025.


"Kadar yang dikenakan ke atas kontraktor utama projek, Setia Utama LRT3 Sdn Bhd adalah RM2,729,280 sehari, bersamaan 0.024% daripada jumlah nilai kontrak bagi setiap hari kelewatan," tegasnya.

 

 

 

 

 


Beliau menjawab soalan lisan daripada Syahredzan Johan (Pakatan Harapan-Bangi), berhubung jumlah pampasan yang perlu dibayar kontraktor projek itu berikutan isu operasi LRT3 masih belum bermula.


Laluan tersebut yang menghubungkan Bandar Utama, Petaling Jaya ke Johan Setia, Klang itu gagal memulakan operasi selepas beberapa kali penangguhan tarikh pembukaan, berikutan masalah teknikal.


Loke menambah, antara faktor utama kelewatan projek berkenaan ialah kegagalan pembekal sistem isyarat, Siemens AG, bagi menyiapkan perisian mengikut jadual untuk diuji semasa fasa percubaan.


Selain itu jelas beliau, kelewatan ujian kritikal bagi pakej sistem lain serta penyempurnaan Ujian Integrasi Sistem turut menyumbang kepada faktor kelewatan keseluruhan projek rel tersebut.


Beliau menegaskan kontraktor LRT3 akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya dan pelbagai tuntutan boleh dikenakan sebaik sahaja projek berkenaan disiapkan untuk operasi dijadualkan pada Jun depan.


“Kita berharap kes ini menjadi pengajaran supaya projek yang akan datang dirancang dengan baik dan dilaksanakan mengikut terma kontrak,” kata Loke sambil memberi jaminan isu itu tidak berulang.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan bercadang memasukkan perjanjian perkhidmatan jangka panjang dalam kos keseluruhan mana-mana projek pengangkutan awam utama pada masa depan.


Langkah tersebut jelas beliau, sejajar dengan amalan terbaik pengendali di luar negara, apabila kos penyelenggaraan digabungkan sekali dalam kontrak asal untuk pembekalan tren dan sistem.


Menurutnya, kerajaan akan berunding dengan pengeluar peralatan asal bagi memastikan segala penyelenggaraan komprehensif jangka panjang dilaksanakan untuk menjamin operasi lebih mampan.

 

 

 

 

 


Bagaimanapun, Loke mengakui pengendali pengangkutan awam di Malaysia tidak mampu beroperasi secara berdikari dari segi kewangan, namun menegaskan peruntukan penyelenggaraan tidak akan dikurangkan.


Sebaliknya tambah beliau, usaha berkenaan tetap dilaksanakan supaya tidak menjejaskan perkhidmatan kepada pengguna pengangkutan awam. - DagangNews.com