Kontrak di Seri Tanjung, Pulau Pinang dijangka sumbang RM40 juta keuntungan bersih Kerjaya Prospek - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak di Seri Tanjung, Pulau Pinang dijangka sumbang RM40 juta keuntungan bersih Kerjaya Prospek - TA Securities

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Feb – Kontrak bernilai RM502.3 juta yang diperoleh Kerjaya Prospek Group Berhad melalui anak syarikatnya Future Rock Sdn Bhd dijangka terus mengekalkan momentum syarikat itu dalam memperoleh lebih banyak projek baharu sepanjang FY26, menurut TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata pelancaran projek pihak berkaitan oleh Eastern & Oriental Berhad (E&O) dan Kerjaya Prospek Property dijangka bernilai hampir RM1 bilion setiap tahun. 

 

“Projek-projek ini boleh memberi peluang kontrak baharu kepada Kerjaya Prospek, dianggarkan kira-kira RM1.2 bilion, berdasarkan nisbah kos pembangunan kasar yang biasa digunakan syarikat.

 

“Selain projek pihak berkaitan, Kerjaya Prospek juga dijangka berpeluang memperoleh tender daripada pihak luar, termasuk dua projek pusat data dan beberapa projek hartanah industri melalui kerjasama dengan Samsung C&T.

 

“Pendekatan ini dijangka mengekalkan aliran kerja syarikat dan menyokong pertumbuhan projek baharu pada FY26 dan tahun seterusnya,” kata TA Securities dalam nota kajiannya.

 

Projek ini merupakan kemenangan kedua bagi syarikat dalam FY26, menjadikan jumlah keseluruhan projek baharu setakat ini RM703.5 juta, menunjukkan aliran kerja yang konsisten dan berterusan.

 

Menurut TA Securities, kontrak bagi kerja penambakan di Seri Tanjung Pinang Fasa 2B & 2C ini boleh menyumbang kira-kira RM40 juta kepada keuntungan bersih sepanjang tempoh pelaksanaannya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerjaya Prospek raih kontrak tambak laut RM502.3 juta Seri Tanjung di Pulau Pinang

 

Jumlah projek yang belum ditagih Kerjaya Prospek kini berjumlah RM4.4 bilion, bersamaan 2.4 kali ganda hasil segmen pembinaan pada FY24. TA Securities menilai angka ini sebagai asas kukuh untuk pertumbuhan keuntungan dalam tempoh sederhana.

 

Buku tender aktif syarikat dianggarkan antara RM2 hingga 3 bilion, dengan lebih separuh daripada nilai tender datang daripada projek pihak berkaitan seperti E&O dan Kerjaya Prospek Property. 

 

Bagi unjuran kewangan, TA Securities mengekalkan jangkaan keuntungan bersih Kerjaya Prospek bagi FY25 pada RM220.5 juta dan FY26 pada RM242.9 juta, sejajar dengan anggaran terdahulu. 

 

Syarikat juga dijangka mengekalkan prestasi stabil dengan tunai yang kukuh dan tiada hutang jangka panjang.

 

“Kami mengekalkan saranan Beli bagi saham Kerjaya Prospek dengan harga sasaran RM3.39. Saham ini dijangka memberi pulangan melebihi 12 peratus, manakala sektor pembinaan keseluruhannya dilihat sebagai overweight dengan prospek pulangan tinggi.

 

“Kerjaya Prospek berada pada kedudukan kukuh untuk pertumbuhan jangka sederhana hingga panjang. Keterlihatan keuntungan jelas, pengisian buku tempahan juga konsisten dan peluang projek tambahan menjadikan syarikat ini berpotensi terus mencatat prestasi kukuh,” katanya. - DagangNews.com