Kerjaya Prospek raih kontrak tambak laut RM502.3 juta Seri Tanjung di Pulau Pinang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjaya Prospek raih kontrak tambak laut RM502.3 juta Seri Tanjung di Pulau Pinang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb – Syarikat pembinaan, Kerjaya Prospek Group Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Future Rock Sdn. Bhd. (FRSB) telah dianugerahkan kontrak bernilai RM502.3 juta oleh Tanjung Development Sdn Bhd (TPD).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata kontrak itu melibatkan kerja tambakan laut dan pengorekan bagi Fasa 2B dan 2C pembangunan Seri Tanjung Pinang. 

 

“Kerja-kerja tambakan dijadualkan bermula pada 11 Mac 2026 dan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan,” katanya dalam makluman itu.

 

TPD merupakan anak syarikat tidak langsung kepada Eastern & Oriental Berhad (E&O), di mana beberapa pengarah dan pemegang saham utama Kerjaya Prospek mempunyai kepentingan secara langsung dan tidak langsung.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya, Tee Eng Tiong berkata kontrak itu menambahkan lagi sasaran pengisian buku tempahan bagi FY2026 dan meningkatkan jumlah buku tempahan keseluruhan kepada RM4.4 bilion. 

 

“Disokong oleh deretan projek yang kukuh dan jelas, kami kekal berada pada posisi yang baik untuk memanfaatkan kepakaran pembinaan kami bagi melaksanakan projek berkualiti dan mengekalkan momentum ke dalam tahun kewangan.

 

"Berdasarkan projek pada tahun sebelum ini, Kumpulan telah memperluaskan pegangan tanah dan  usaha sama di Pulau Pinang dan Lembah Klang, selain pengambilalihan pegangan serta pembentukan kerjasama strategik.

 

“Inisiatif ini telah meningkatkan jejak pembangunan Kumpulan dan memperkukuh kedudukan untuk memenuhi keperluan pembeli rumah melalui perbandaran yang dirancang dengan baik dan boleh didiami,” katanya dalam satu kenyataan. 

 

Kontrak baharu itu menaikkan jumlah kontrak baharu Kerjaya Prospek pada FY2026 kepada RM703.5 juta dan dijangka menyokong keterlihatan pendapatan sepanjang empat tahun akan datang.

 

Kerjaya Prospek Group Berhad pada asalnya menumpukan pada reka bentuk, pembuatan dan pemasaran produk pencahayaan serta kabinet dapur premium.

 

Sepanjang tahun, Kumpulan telah memperluaskan kepakaran dalam pembinaan bangunan, pengurusan projek, pembangunan hartanah dan perkhidmatan berkaitan pembinaan untuk pasaran hartanah kediaman premium. - DagangNews.com