KUALA LUMPUR 13 Feb - Prospek KKB Engineering Bhd dijangka bertambah baik selepas berjaya meraih kontrak baharu bernilai kira-kira RM292 juta pada Januari lalu, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, kemenangan terkini itu menjadikan buku tempahan dianggarkan meningkat kepada sekitar RM345 juta berbanding hanya kira-kira RM55 juta pada akhir suku keempat tahun kewangan 2025 (FY25).
Katanya, prospek pertumbuhan turut disokong oleh nilai buku tender yang kukuh.
"Bagi segmen kejuruteraan, pembinaan dan pembuatan, nilai tender yang sedang dibida dianggarkan sekitar RM1.9 bilion.
"Selain itu, tender berkaitan projek fabrikasi minyak dan gas berjumlah kira-kira RM212 juta, melibatkan peluang kerja di Sarawak dan Sabah," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
RHB mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap KKB dengan harga sasaran (TP) RM1.42, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 15% serta jangkaan hasil dividen kira-kira 4% bagi FY26F.
Bagi tahun kewangan 2025 (FY25), KKB merekodkan keuntungan bersih teras RM15 juta, susut 43% tahun ke tahun, namun pencapaian tersebut adalah selaras jangkaan apabila memenuhi 99.9% daripada unjuran penganalisis.
Prestasi FY25 disifatkan sebagai sederhana berikutan beberapa projek utama menghampiri peringkat akhir pelaksanaan.
RHB mengekalkan unjuran pendapatan memandangkan prestasi kewangan FY25 adalah selaras jangkaan.
Firma itu turut memperkenalkan unjuran FY28F dengan andaian pengisian semula kontrak baharu bernilai RM350 juta.
KKB juga dilihat berpotensi mendapat manfaat daripada peningkatan peruntukan pembangunan kepada Sarawak sebanyak RM6 bilion di bawah Belanjawan 2026, berbanding RM5.9 bilion pada 2025.
Menurut RHB antara pemangkin utama yang akan menyokong pertumbuhan KKB termasuk kemenangan kontrak lebih pantas daripada jangkaan bagi fabrikasi pelantar kepala telaga minyak dan gas (WHP), susulan perancangan Petronas untuk membangunkan beberapa WHP pada 2026 dan 2027.
Pelancaran Malaysia Bid Round 2026 yang melibatkan blok berpotensi tinggi di Lembangan Sarawak Barat turut menyokong prospek sektor tersebut.
Namun, risiko utama kekal kepada trend pengisian semula kontrak yang lebih perlahan daripada jangkaan, yang boleh menjejaskan pertumbuhan pendapatan kumpulan dalam jangka sederhana. - DagangNews.com








