KUALA LUMPUR 27 Feb - Kombinasi rangka kerja tarif yang lebih jelas, mekanisme pemulihan kos bahan api yang cekap serta prospek permintaan elektrik yang mampan meletakkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada landasan pertumbuhan yang lebih stabil dalam tempoh jangka sederhana, menurut penganalisis.
MBSB Research berkata, di bawah rangka kerja tarif baharu RP4 menyediakan prospek pendapatan yang lebih stabil sekali gus memastikan kestabilan aliran tunai syarikat utiliti nasional itu.
Pelaksanaan mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) yang dinamik sejak Julai 2025 menjadi pemangkin utama kestabilan aliran tunai syarikat utiliti nasional itu. Mekanisme berkenaan menghapuskan kelewatan dalam pemulihan kos bahan api, sekali gus melindungi TNB daripada turun naik harga bahan api global.
“Di bawah RP4, ketelusan dan kestabilan pendapatan adalah lebih baik. AFA membolehkan pelarasan kos bahan api dibuat secara lebih responsif, sekali gus mengurangkan risiko ketidakpadanan kos dan hasil,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Keadaan itu mendorong MBSB mengekalan saranan BELI ke atas saham TNB dengan harga sasaran (TP) berasaskan aliran tunai terdiskaun (DCF) sebanyak RM16.40, tidak berubah,
Firma penyelidikan itu menambah isu cukai berpanjangan yang sebelum ini menekan sentimen terhadap TNB juga dilihat semakin reda.
Perkembangan itu dijangka menurunkan kadar cukai efektif kumpulan secara berperingkat, seperti yang mula ditunjukkan pada suku keempat tahun kewangan 2025 (4S25).
MBSB berpandangan, penurunan kadar cukai efektif berkenaan akan menyokong pertumbuhan pendapatan bersih pada masa hadapan, sekali gus mengukuhkan asas penilaian saham TNB.
Sementara itu CGS International (CGSI) berkata, kejelasan berhubung mekanisme tuntutan balik cukai, pemuktamadan imbuhan bagi capex bersyarat serta kemungkinan penambahan kapasiti loji janakuasa gas baharu pada masa hadapan bakal menjadi pemangkin pertumbuhan pendapatan TNB pada masa depan.
Katanya TNB terus dilihat sebagai pemudah cara utama serta penerima manfaat terbesar dalam peluasan sektor tenaga negara yang semakin pesat, selari dengan peningkatan permintaan elektrik dan pelaksanaan kitaran pelaburan berbilang tahun yang baharu.
Permintaan elektrik dijangka terus berkembang kukuh sejajar pemulihan ekonomi domestik dan pertumbuhan sektor bernilai tambah tinggi. Bagi tahun kalendar 2026 (TK26), permintaan elektrik diunjurkan meningkat sekitar 5.4%, disokong oleh aktiviti komersial dan pertumbuhan pusat data.
“Tenaga berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan pertumbuhan permintaan tenaga, khususnya dengan peningkatan aktiviti komersial dan pembangunan pusat data, di samping pelaksanaan perbelanjaan modal (capex) yang berterusan di bawah rangka kerja kawal selia semasa,” katanya dalam satu nota kajian.
Bagaimanapun, firma itu turut mengingatkan beberapa risiko penurunan yang perlu diberi perhatian, termasuk kos operasi (opex) yang lebih tinggi daripada jangkaan, ketidaktentuan harga bahan api serta sebarang perubahan dasar atau rangka kerja kawal selia yang tidak memihak kepada industri utiliti.
CGSI mengekalkan saranan TAMBAH ke atas TNB dengan TP berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOP) tidak berubah pada RM16.60 sesaham, didorong prospek pertumbuhan jangka sederhana hingga panjang yang kekal kukuh.
Sementara itu Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, perkembangan pada prestasi kewangan 4Q25 menandakan syarikat utiliti nasional itu kini bergerak sepenuhnya keluar daripada isu ketidaktentuan berkaitan cukai yang sebelum ini membayangi sentimen pelabur.
Katanya, prestasi kewangan TNB bagi 4Q25 mengatasi jangkaan pasaran berikutan kadar cukai efektif yang lebih rendah daripada anggaran.
Firma penyelidikan itu berkata, prestasi lebih baik itu disumbangkan oleh langkah TNB yang mula memanfaatkan elaun cukai pelaburan yang baharu diluluskan, sekali gus mengurangkan beban cukai kumpulan bagi tempoh berkenaan.
“Kami melihat perkembangan ini secara positif memandangkan ia memberikan kejelasan terhadap kedudukan cukai TNB serta menyokong trajektori pertumbuhan keuntungan pada masa hadapan,” katanya dalam satu nota kajian hari ini.
Sehubungan itu, Maybank IB mengekalkan saranan BELI ke atas saham TNB dengan menaikkan sedikit TP berasaskan kaedah aliran tunai terdiskaun (DCF) kepada RM14.60 berbanding RM14.50 sebelum ini.
Prestasi 4Q25
TNB mencatatkan pendapatan teras sebanyak RM1.38 bilion pada suku keempat tahun kewangan 2025 (4Q25), meningkat 15.0% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, disokong oleh jualan elektrik yang lebih tinggi.
Prestasi itu didorong pertumbuhan permintaan elektrik sebanyak 4.2% tahun ke tahun, dengan sektor komersial muncul sebagai penyumbang utama. Selain itu, kadar cukai efektif yang lebih rendah turut membantu meningkatkan keuntungan bersih bagi suku berkenaan.
Bagi tempoh kumulatif 12 bulan tahun kewangan 2025 (12MFY25), pendapatan teras TNB meningkat 18.2% kepada RM4.12 bilion berbanding tahun sebelumnya. Prestasi tersebut bagaimanapun berada di bawah jangkaan dalaman pada kadar pencapaian 85.1%, namun masih selari dengan unjuran konsensus yang mencatatkan 96.5%.
Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan itu mengumumkan dividen sebanyak 28 sen sesaham bagi suku berkenaan, menjadikan jumlah dividen penuh FY25 kepada 53 sen sesaham.
Jumlah itu mewakili nisbah pembayaran dividen sebanyak 75.0% daripada pendapatan teras, mencerminkan komitmen berterusan TNB untuk memberikan pulangan mampan kepada pemegang saham seiring dengan prestasi kewangannya yang lebih kukuh. - DagangNews.com








