KUALA LUMPUR 2 Mac – Penyusutan keuntungan suku ke suku (QoQ) dan tahap gear bersih yang tinggi pada 0.9 kali menjadi antara isu kritikal terus membayangi prestasi IOI Properties Group Berhad.
Menurut MBSB Research, pendapatan separuh pertama tahun kewangan 2026 namun menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun (YoY) dengan keuntungan bersih teras 1HFY26 sebanyak RM306.2 juta.
Kata firma itu, ia adalah dalam jangkaannya merangkumi 53%, dengan pengiraan keuntungan tersebut sudah mengecualikan keuntungan nilai saksama dan keuntungan pengukuran semula sekali sahaja.
"Bagi 2QFY26, keuntungan bersih teras susut 11.3% QoQ kepada RM143.9 juta walaupun hasil naik 7.4%. disebabkan peningkatan ketara perbelanjaan pemasaran sebanyak 45.3%," jelasnya dalam nota hari ini.
MBSB Research menambah, kenaikan perbelanjaan operasi lain 26% berbanding suku sebelumnya, selain kadar cukai lebih tinggi 16.1% berbanding 11.5% pada 1QFY26 juga menekan keuntungan IOI Properties.
Namun secara tahunan, 2QFY26 mencatat pertumbuhan keuntungan teras 50.6%, melonjakkan keuntungan teras 1HFY26 sebanyak 79.8%, didorong sumbangan operasi daripada aset kumpulan itu di Singapura.
Di samping itu, sumbangan sewaan daripada IOI Central Boulevard di Singapura serta prestasi sewaan yang kekal berdaya tahan di IOI City Mall terus menyokong pertumbuhan divisyen pelaburan hartanah.
"Dari segi jualan hartanah, jualan baharu naik kepada RM526 juta pada 2QFY26 berbanding RM474 juta pada suku sebelumnya, menjadikan keseluruhan 1HFY26 mencecah RM1 billion," kata MBSB Research.
Projek tempatan menyumbang 80%, dan jualan baharu FY26 dijangka kekal dalam lingkungan RM2 bilion, manakala jualan belum dibil meningkat kepada RM853 juta daripada RM780 juta pada suku pertama.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' ke atas IOI Properties dengan harga sasaran disemak naik kepada RM3.17 daripada RM2.97 selepas mengecilkan diskaun kepada 38% daripada 42%.
Selain itu MBSB Research, mengambil kira prospek jualan dan pendapatan, manakala penyenaraian REIT yang dirancang dilihat sebagai pemangkin terdekat, di samping jualan tanah di Banting, Selangor.
"Bagaimanapun, kami berpandangan penilaian saham adalah agak tegang apabila didagangkan pada nisbah harga kepada buku (P/B) 0.76 kali, melebihi sisihan piawai purata iaitu sembilan tahun," jelasnya.
Justeru, firma berkenaan mengambil pendirian 'neutral' dikekalkan memandangkan risiko gear tinggi dan penilaian semasa yang mencabar terhadap IOI Properties. - DagangNews.com








