KUALA LUMPUR 13 Mei — Westports Holdings Berhad dijangka mula merasai kesan kenaikan tarif pada tahun ini, lebih awal berbanding FY26 seperti yang diunjurkan Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu berkata, buat masa ini operasi syarikat kekal tidak terjejas disebabkan ketegangan perdagangan dan kumpulan itu berjaya mencatatkan peningkatan untung bersih pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25).
Ia merujuk laporan kewangan Westports diterbitkan pada 9 Mei 2025 yang melaporkan keuntungan bersihnya bertambah 8.8 peratus kepada RM222.46 juta untuk tempoh 1QFY25 berbanding RM204.5 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
"Kami masih mengekalkan saranan "pegang" kepada saham kumpulan ini berdasarkan potensi risiko daripada gangguan tarif dan ketegangan geopolitik, yang boleh melembapkan perdagangan global," katanya dalam satu nota kajian.
Selain itu tambahnya, kesan berkenaan dijangka boleh mempengaruhi pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia yang selama ini menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan kontena untuk diuruskan operator pelabuhan tersebut.
Artikel berkaitan: Untung bersih Westports naik kepada RM22.246-juta pada 1QFY25 dipacu pertambahan pengendalian kontena
Keuntungan pada 1QFY25 kata firma itu, disokong oleh peningkatan hasil 9 peratus, didorong oleh pendapatan lebih kukuh kontena sebanyak 4 peratus tahun ke tahun (YoY) atas caj perkhidmatan tambah nilai (VAS) yang tinggi.
Simpanan lebih besar sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan pemeriksaan komoditi logam namun hasil merosot 13 peratus berikutan penurunan hasil sebanyak 4 peratus daripada faktor bermusim dan lonjakan 49 peratus perbelanjaan cukai.
"Setakat Mei 2025, kuantiti kontena dikendalikan oleh Westports terus menjejaki arah aliran pada 1QFY25, tanpa ada kesan besar lagi daripada tarif Amerika Syarikat yang negara tersebut diumumkan baru-baru ini," katanya.
Maybank IB bagaimanapun menyemak semula harga sasaran sesaham Westports kepada RM4.78 iaitu peningkatan 12 peratus daripada sebelum ini tetapi masih lagi berpendirian "neutral" untuk sektor pelabuhan. - DagangNews.com








