Untung bersih Westports naik kepada RM222.46 juta pada 1QFY25 dipacu pertambahan pengendalian kontena | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Westports naik kepada RM222.46 juta pada 1QFY25 dipacu pertambahan pengendalian kontena

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - Westports Holdings Bhd mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 8.8% kepada RM222.46 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) berbanding RM204.5 juta pada suku sama tahun sebelumnya dipacu peningkatan pengendalian kontena.

 

Kumpulan itu mencatatkan hasil suku tahunan RM621.3 juta dengan jumlah kontena 2.69 juta TEU - disokong oleh perdagangan serantau dalam Asia, yang menyumbang 63% daripada jumlah keseluruhan berbanding hasil sebanyak RM543.15 juta yang dicapai setahun lalu pada 1QFY24.

 

Katanya, segmen konvensional mengendalikan dan memudahkan pengeluaran 2.95 juta tan kargo pukal, dengan peningkatan ketara dalam aktiviti pukal cecair seperti berkaitan minyak sawit.

 

"Kos tenaga kerja operasi merupakan komponen kos terbesar, naik sebanyak 7% kerana mereka perlu membayar lebih daripada kadar gaji minimum terkini RM1,700 sebulan yang berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.

 

"Westports menggunakan diesel tanpa subsidi untuk operasi terminalnya, dan kos bahan api menyaksikan peratusan penurunan terbesar apabila syarikat mendapat manfaat daripada harga minyak antarabangsa yang lebih rendah. 

 

"Kumpulan itu juga telah meningkatkan pembayarannya kepada pihak berkuasa pelabuhan di bawah perjanjian penswastaan ​​tambahan yang dilanjutkan, yang bermula pada 1 September 2024," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengerusi Eksekutif Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam berkata, kadar tarif untuk beberapa negara dagangan utama sudah mula menunjukkan peningkatan.

 

Beliau berkata, ketidakpastian dan pelarasan sementara mungkin memberi kesan kepada pertumbuhan pperdagangan untuk kontena tetapi keseimbangan baharu, dinaik ekonomi Asia dan komitmen Malaysia terhadap perdagangan pelbagai hala akan mewujudkan semula asas baharu untuk pertumbuhan mampan jangka panjang. 

 

"Oleh itu, pengembangan terminal kontena di Westports 2 akan diteruskan dan dijangka siap menjelang 2028 kerana kami menjangka permintaan yang lebih tinggi untuk kemudahan pengendalian terminal," katanya.- DagangNews.com