Kesan denda RM97 juta di Indonesia kekang prestasi Genting Plantations pada 4QFY25, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kesan denda RM97 juta di Indonesia kekang prestasi Genting Plantations pada 4QFY25, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Feb – Pengiktirafan denda pentadbiran kira-kira RM97 juta berkaitan penguatkuasaan kawasan hutan di Indonesia mengekang prestasi Genting Plantations Berhad pada suku keempat FY25.


Kes itu menjadi isu kritikal yang mempengaruhi penilaian firma penyelidikan terhadap prospek kumpulan, dengan mereka mengekalkan pandangan berbeza terhadap sahamnya susulan keputusan FY25.


Maybank Investment Bank mengekalkan saranan ‘beli’ tetapi harga sasaran (TP) dinaikkan sedikit kepada RM6.59 sesaham, sambil menekankan tarikannya terhadap dividen bersih yang melebihi 5%.


"Keuntungan bersih dilaporkan 4QFY25 susut ketara kepada RM14 juta akibat denda sekali sahaja itu, namun selepas pelarasan, untung bersih teras mencecah RM115 juta," katanya dalam nota hari ini.


Keadaan tersebut menjadikan ia adalah 6% mengatasi unjuran firma itu, manakala prestasi FY25 disokong segmen huluan dengan hasil kasar meningkat 9% tahun ke tahun (YoY) kepada RM889 juta.


Tambah Maybank IB, perkembangan itu dipacu harga purata isirung sawit (PK) tinggi dan keuntungan daripada inventori dibawa ke hadapan, walaupun pengeluaran tandan buah segar (BTS) susut 3%.


Segmen hartanah jelas firma tersebut, turut menunjukkan pertumbuhan kukuh dengan perolehan kasar melonjak 71% kepada RM52 juta, manakala jualan hartanah lebih dua kali ganda kepada RM402 juta.


"Bagi FY26, kami menjangka pertumbuhan pendapatan sederhana susulan harga purata minyak sawit mentah (MSM) lebih rendah, namun diimbangi peningkatan pengeluaran BTS kira-kira 3% hingga 5%.


Genting Plantations turut menyasarkan pulangan modal bagi Jakarta Premium Outlets di Indonesia, serta mengisytiharkan dividen akhir 4 sen, dengan jumlah pada FY25 sebanyak 28 sen sesaham.


CGS InternationaI pula mengekalkan saranan ‘pegang’ dan TP RM5.15, mengambil kira cabaran berterusan dalam persekitaran hiliran serta kesan kehilangan 3,000 hektar kawasan yang ditanam di Indonesia.


Firma itu melaporkan keuntungan bersih teras FY25 sebanyak RM383.5 juta, meningkat 17% YoY dan melepasi jangkaannya, didorong sumbangan yang lebih tinggi daripada projek pembangunan hartanah.


"Menurut pengurusan, jumlah keseluruhan tanah dirampas pihak berkuasa Indonesia mencecah sekitar 12,000 hektar, tetapi tiada perbincangan lanjut mengenai rampasan tambahan setakat ini," katanya.


Selain itu, CGSI menjangkakan tuaian lebih baik pada FY26 berikutan pertambahan kawasan matang dan profil usia pokok yang lebih produktif, selari dengan panduan pertumbuhan BTS 3% hingga 5%.


Bagaimanapun, firma itu berhati-hati terhadap risiko tekanan margin hiliran dan ketidaktentuan prestasi hartanah, walaupun ada potensi kenaikan daripada penilaian semula tanah di Johor.


Secara keseluruhan, daya tarikan dividen dan pemulihan operasi diimbangi risiko struktur susulan isu penguatkuasaan tanah dan cabaran margin dalam segmen hiliran. - DagangNews.com