KUALA LUMPUR 4 Mac – ZTE Corporation telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) strategik dengan Safoca Sdn Bhd bagi memperkukuh infrastruktur digital di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak, selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk mencapai Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) dan Ekonomi Digital 2030.
Kerjasama ini memberi penekanan khusus kepada penyediaan sambungan internet yang boleh dipercayai, pantas, dan selamat ke rumah, rumah panjang, sekolah, klinik kesihatan dan pusat komuniti di kawasan pedalaman, di mana capaian digital sebelum ini masih terhad akibat cabaran geografi dan logistik.
Melalui pendekatan bersepadu ini, ZTE dan Sacofa berhasrat untuk memastikan semua rakyat Sarawak, termasuk yang menetap di kawasan terpencil, mendapat akses kepada perkhidmatan digital yang berkualiti, sekali gus menyokong agenda inklusif kerajaan negeri dalam transformasi digital.
ZTE, sebagai penyedia global teknologi maklumat dan komunikasi bersepadu, membawa pengalaman dan kepakaran untuk merancang dan membangunkan rangkaian telekomunikasi yang bukan sahaja cekap tetapi juga mesra alam, termasuk sistem tenaga hijau dan pemantauan jauh untuk operasi autonomi.
Kerjasama ini dijangka mempercepatkan pelaksanaan projek digital di kawasan yang sebelum ini sukar dicapai melalui gentian optik konvensional, seterusnya menyokong aspirasi Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi dan maju secara digital menjelang 2030.
MOU tersebut ditandatangani sempena Mobile World Congress 2026 yang diadakan di Barcelona, Sepanyol.
Kedua-dua pihak dalam kenyataan bersama berkata, kerjasama strategik ini menegaskan komitmen jangka panjang mereka untuk menyediakan penyelesaian telekomunikasi inovatif dan lestari, dengan tumpuan utama kepada liputan luar bandar dan pedalaman, supaya setiap komuniti di Sarawak mendapat peluang yang sama dalam era digital.
“Pendekatan bersepadu ini memastikan sambungan yang boleh dipercayai, lestari, dan bersedia untuk masa depan sambil meminimumkan impak alam sekitar.
“Di bawah kerangka strategik ini, ZTE dan Sacofa akan meneroka penggunaan rumusan sambungan generasi seterusnya yang bersepadu.
“Ini termasuk stesen asas perintis luar bandar yang direka untuk pengembangan liputan yang cekap dan boleh diskalakan, serta penyelesaian akses tanpa wayar tetap (FWA) berkelajuan tinggi untuk sambungan jarak terakhir yang pantas,” menurut kenyataan itu. - DagangNews.com








