Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai kuasa ke atas caj dikenakan terhadap pengguna Jalan Genting Highlands, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai kuasa ke atas caj dikenakan terhadap pengguna Jalan Genting Highlands, Parlimen diberitahu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Nov – Kerajaan persekutuan tidak mempunyai kuasa ke atas caj kenderaan yang dikenakan di Jalan Genting Highlands kerana perkara ini berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Pahang, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

 

Beliau menjelaskan jalan tersebut bukan jalan persekutuan dan terletak di atas tanah persendirian.

 

“Kementerian Kerja Raya tidak mempunyai kuasa kawal selia ke atasnya.

 

“Disebabkan ini adalah jalan persendirian, kerajaan persekutuan tidak terlibat, sebaliknya pihak berkaitan adalah majlis tempatan dan kerajaan negeri dari segi pelaksanaan caj,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Minggu lepas, Genting Malaysia Bhd mengesahkan terdapat caj untuk kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands tidak lama lagi.

 

Namun, syarikat itu masih belum mengumumkan struktur harga caj dan tarikh mula pelaksanaannya.

 

Syarikat itu berkata, caj jalan persendirian ini diperlukan bagi menampung kos penyelenggaraan jalan sepanjang 24 kilometer.

 

“Kos tinggi juga diperlukan untuk menjaga keselamatan pengguna jalan raya terutama di laluan cerun yang tinggi. Ia ditanggung sepenuhnya oleh syarikat sejak tahun 1960-an,” kata Genting.

 

Pengumuman ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan pekerja di kawasan tersebut yang bimbang kos pengangkutan harian meningkat.

 

Menyentuh isu itu, Ahmad Maslan bersetuju bahawa pekerja tidak seharusnya dikenakan caj kerana mereka bergantung kepada laluan tersebut setiap hari. 

 

Beliau juga menyatakan pemilik tanah dan perniagaan sepanjang jalan, termasuk hotel yang bukan milik Genting, mungkin turut terjejas dan perbincangan antara pihak berkepentingan bersama syarikat adalah diperlukan.

 

Bagi mereka yang naik ke bukit untuk tujuan rekreasi, Ahmad Maslan berpendapat adalah wajar untuk dikenakan caj.

 

“Istilah “tol” tidak patut digunakan apabila merujuk kepada caj ini kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dengan 33 konsesi lebuh raya yang dikawal selia oleh kerajaan Persekutuan,” katanya. - DagangNews.com