Kerajaan dijangka kutip RM5 bilion hasil daripada semakan semula SST | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan dijangka kutip RM5 bilion hasil daripada semakan semula SST

KUALA LUMPUR 10 Jun - Kerajaan dijangka mengutip RM5 bilion hasil daripada semakan semula cukai jualan dan peluasan cukai perkhidmatan (SST) kepada perkhidmatan lain yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, semakan semula SST itu didorong oleh keperluan untuk memperkukuh ruang fiskal kerajaan persekutuan bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan menurunkan kos sara hidup, di samping menambah jumlah bantuan tunai kepada rakyat.

 

“Bagi memastikan majoriti rakyat tidak terkesan dengan semakan SST, kerajaan Madani mengambil pendekatan bersasar untuk memastikan barangan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai.

 

“Selain itu, pelbagai kemudahan turut disediakan bagi mengurangkan impak terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.

 

Kerajaan juga mengekalkan kadar sifar cukai jualan ke atas barangan keperluan seperti beras, daging ayam dan sayur-sayuran, tetapi memperkenalkan cukai sebanyak 5% ke atas barangan seperti ketam raja, ikan salmon, trufel dan minyak pati, serta menaikkan cukai jualan kepada 10% bagi produk seperti basikal lumba, lukisan tangan antik dan sisa sekerap tungsten daripada kadar asal 5%.

 

amir hamzah
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

 

Kerajaan juga meluaskan asas cukai dan mengenakan cukai sebanyak 8% ke atas perkhidmatan seperti penyewaan dan pajakan, perkhidmatan kewangan dan kecantikan, serta cukai sebanyak 6% ke atas perkhidmatan pembinaan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

 

Institut Cukai Bertauliah Malaysia (CTIM) berkata, langkah menyemak semula SST adalah tepat pada masanya dan merupakan penggunaan strategik cukai tidak langsung untuk meningkatkan hasil kerajaan tanpa perlu mengenakan cukai langsung tambahan atau memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada masa ini.

 

“Memandangkan ekonomi Malaysia yang berasaskan perkhidmatan terus berkembang, CTIM mengiktiraf usaha kerajaan untuk meluaskan asas cukai dengan memasukkan lebih banyak sektor ke dalam rejim SST.

 

“Langkah ini selari dengan trend global dan mencerminkan pendekatan pragmatik ke arah kelestarian fiskal,” menurut kenyataan itu.

 

CTIM turut menambah bahawa bagi memastikan peralihan yang lancar, ia menggesa kerajaan mewujudkan saluran sokongan khusus yang dikendalikan oleh pegawai berpengetahuan untuk memberikan maklum balas tepat pada masanya serta mengurangkan risiko ketidakpatuhan.

 

Kutipan SST daripada perniagaan berdaftar akan bermula Julai ini, manakala bagi syarikat yang kini berada dalam skop cukai baharu, kutipan dijangka bermula pada bulan September 2025 selepas syarikat-syarikat tersebut mendaftar dengan Jabatan Kastam.

 

Pelaksanaan peluasan SST ini turut disertakan dengan pengecualian terpilih bagi mengelakkan cukai berganda serta memastikan perkhidmatan penting tertentu untuk rakyat Malaysia tidak dikenakan cukai, tambah Amir Hamzah.

 

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

 

Kerajaan telah mengutip kira-kira RM45 bilion hasil SST pada tahun 2024.

 

Menurut Laporan Ekonomi Suku Pertama 2025 Kementerian Kewangan, hasil kerajaan persekutuan bagi suku tersebut berjumlah RM72.1 bilion, sebahagiannya didorong oleh peningkatan kutipan SST yang mencecah RM11.1 bilion.

 

Pelaksanaan semula SST pada September 2018 menyaksikan kerajaan mengutip RM5.4 bilion dalam tempoh tersebut.

 

Kutipan tahunan SST adalah sebanyak RM27.6 bilion pada 2019, RM25.2 bilion pada 2020, RM25.5 bilion pada 2021, RM31.3 bilion pada 2022 dan RM35.4 bilion pada 2023.- DagangNews.com