Kelantan kaji seragamkan kadar zakat padi mengikut sumber air: paip 5%, hujan 10% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelantan kaji seragamkan kadar zakat padi mengikut sumber air: paip 5%, hujan 10%

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Jan – Kerajaan Negeri Kelantan melalui Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) kini meneliti semula kadar zakat padi, termasuk cadangan menetapkan 5 peratus bagi penggunaan air berbayar atau pengairan dan 10 peratus untuk air hujan semula jadi. 

 

Langkah itu bertujuan memastikan sistem zakat lebih adil dan bersesuaian dengan perkembangan teknologi serta kos pertanian hari ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata semakan itu adalah pendekatan proaktif  yang dilakukan kerajaan negeri Kelantan bagi menyesuaikan kewajipan zakat padi dengan situasi ekonomi yang dihadapi pesawah.

 

“Ini termasuk mengambil kira kos operasi seperti benih, baja, racun dan sewa jentera sebelum zakat ditunaikan.

 

“Kajian ini akan meneliti kaedah pengiraan zakat, kadar hasil padi semasa serta cabaran yang dihadapi pesawah di seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau menjelaskan tujuan utama kajian itu dilakukan adalah memastikan fatwa zakat padi sentiasa relevan dengan perubahan industri padi dan beras, termasuk penurunan hasil dan peningkatan kos input pertanian.

 

Selain itu, kajian juga menumpukan perhatian kepada mekanisme pelaksanaan zakat agar selaras dengan sumber air, infrastruktur pertanian, penggunaan teknologi dan landskap pertanian semasa.

 

Beliau yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan turut berkongsi pandangan berhubung kajian semula fatwa zakat padi bersama pegawai penyelidik MAIK dalam satu pertemuan baru-baru ini. 

 

Penyelidikan ini turut meneliti penyelarasan kadar dan nisab zakat mengikut nilai ekonomi semasa dan garis kemiskinan.

 

Langkah menyeragamkan kadar zakat di antara 5 peratus dan 10 peratus diharap dapat mewujudkan keadilan bagi pesawah, bergantung kepada jenis sumber air yang digunakan untuk pengairan.

 

Beliau menambah, kajian ini juga bertujuan memastikan pesawah yang bergantung kepada air hujan semula jadi tidak terbeban secara tidak adil berbanding pesawah yang menggunakan sistem pengairan berbayar.

 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia sebelum ini memberi ruang kepada negeri-negeri untuk menyesuaikan kaedah taksiran zakat agar maklumat tepat dapat disampaikan kepada rakyat.

 

Beliau berkata kerajaan negeri melalui MAIK berharap hasil kajian ini dapat memberikan garis panduan yang jelas kepada pesawah, sekaligus memastikan pelaksanaan zakat padi lebih telus dan relevan dengan keadaan semasa.

 

Kajian ini juga dijangka membantu kerajaan negeri merangka polisi zakat padi yang lebih efektif dan menyeluruh, selari dengan perubahan teknologi dan mekanisasi dalam sektor pertanian. - DagangNews.com