Kebakaran kilang Inari di Filipina cetus kebimbangan gangguan operasi harian syarikat, kata PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kebakaran kilang Inari di Filipina cetus kebimbangan gangguan operasi harian syarikat, kata PublicInvest

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 Mei - Insiden kebakaran di fasiliti pembuatan Inari Amertron Berhad di Clark, Filipina pada 10 Mei 2026 dijangka memberi gangguan operasi jangka pendek kepada kumpulan tersebut.


Bagaimanapun menurut Public Investment Bank (PublicInvest), prospek syarikat tersebut meraih tempahan model telefon pintar baharu dilihat mampu menjadi pemangkin pemulihan dalam jangka panjang.


Tambah firma penyelidikan berkenaan, walaupun insiden itu memberi kesan kepada sebahagian operasi pengeluaran di kilang CK1 yang dimiliki kumpulan, impak kewangannya masih lagi dianggap terkawal.


“Kami melihat kejadian malang tersebut sebagai gangguan operasi jangka pendek tetapi masih boleh diurus dari sudut kewangan berdasarkan pendedahan awal syarikat," katanya dalam nota analisis.


Justeru, PublicInvest mengekalkan saranan 'neutral' terhadap Inari dan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.86 berbanding RM1.54 sebelum ini selepas meningkatkan unjuran permintaan produk.


Ujarnya, anggaran kerugian mencecah AS$5 juta (RM20 juta) mewakili kurang 1% daripada ekuiti pemegang sahamnya sebanyak RM3.1 bilion dan sekitar 10% daripada unjuran pendapatan pada FY26.


Menurut firma berkenaan, siasatan awal pihak berkuasa mendapati kes kebakaran yang berlaku itu kemungkinan berpunca daripada litar pintas pendawaian di bahagian siling fasiliti yang terjejas.

 

Artikel berkaitan: Insiden kebakaran di kilang Filipina, Inari Amertron anggar kerugian bawah AS$5 juta
 

Inari_DagangNews


"Tiada kematian atau kecederaan, namun ia menjejaskan sebahagian kawasan termasuk beberapa mesin, inventori dan fasiliti sokongan di kilang berkeluasan 11,613 meter persegi," kata PublicInvest.


Kawasan terjejas pula tambahnya, hanya 1,161 meter persegi atau 10% daripada ruang pengeluaran CK1, dengan operasi di fasiliti itu digantung sementara bagi tujuan pemeriksaan keselamatan.


Inari juga jelas firma tersebut, turut melaksanakan kerja pembersihan, manakala bahagian lain turut dihentikan buat sementara susulan penutupan bekalan elektrik mandatori oleh pihak bomba.


Menurut PublicInvest, Inari menjangkakan operasi secara sepenuhnya akan dapat disambung semula selepas kelulusan diperoleh serta pemasangan talian kuasa khas selesai dilaksanakan syarikat.


"Antara risiko dijangka termasuk kos pemindahan pengeluaran, kelewatan penghantaran kepada pelanggan, peningkatan kos logistik dan ketidakcekapan penggunaan kapasiti sementara," katanya.


Sementara itu, kilang kedua syarikat di Filipina iaitu CK2 yang mempunyai keluasan sekitar 7,710 meter persegi kekal beroperasi sepenuhnya dan langsung tidak terjejas oleh insiden tersebut.


Pihak pengurusan Inari, ujar PublicInvest, kini sedang menilai pelan pengaturan semula pengeluaran bagi meminimumkan gangguan penghantaran produk kepada pelanggan. - DagangNews.com