Kebakaran kilang: FoundPac alihkan sementara tempahan kepada pengeluar kontrak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kebakaran kilang: FoundPac alihkan sementara tempahan kepada pengeluar kontrak

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Jun - FP Stencil Sdn. Bhd. (FPS), anak syarikat milik penuh FoundPac Group Berhad, telah melaksanakan langkah mitigasi dengan menyerahkan tempahan kepada pengeluar kontrak yang diluluskan bagi meminimumkan gangguan sementara terhadap pengeluaran.

 

Langkah itu diambil susulan insiden kebakaran yang berlaku di sebuah kilang kendalian FPS di Batu Maung, Pulau Pinang pada petang Ahad, 14 Jun 2026.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia syarikat itu berkata, insiden di premis di No. 8, Lintang Beringin 1, Off Jalan Permatang Damar Laut itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan kepada pekerja.

 

FPS terlibat terutamanya dalam pembuatan dan penjualan stensil laser, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa berkaitan.

 

Menurut Lembaga Pengarah, pada masa ini tahap kerosakan terhadap mesin, peralatan serta aset lain di kilang terjejas masih belum dapat ditentukan secara tepat, begitu juga impak kewangan dan operasi terhadap kumpulan.

 

Bagaimanapun, berdasarkan penilaian awal, syarikat percaya insiden tersebut tidak dijangka memberi kesan material kepada kedudukan kewangan atau operasi keseluruhan kumpulan.

 

Dalam masa sama, FoundPac memaklumkan bahawa semua loji, mesin dan aset FPS dilindungi di bawah polisi insurans, dan pihak syarikat telah memaklumkan kejadian tersebut kepada penanggung insurans berkaitan.

 

Pemilik premis yang menempatkan kilang berkenaan turut mempunyai perlindungan insurans berasingan bagi bangunan tersebut.

 

Syarikat akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan material berkaitan siasatan atau penilaian kerosakan yang sedang dijalankan. - DagangNews.com