Kebajikan isi rumah termasuk golongan mahasiswa kekal jadi keutamaan TNB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kebajikan isi rumah termasuk golongan mahasiswa kekal jadi keutamaan TNB

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 4 Julai - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil maklum kebimbangan yang dibangkitkan oleh beberapa pihak, termasuk Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), berhubung kesejahteraan mahasiswa susulan pelaksanaan semakan tarif elektrik yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.

 

Sebagai pembekal tenaga utama negara, TNB sentiasa peka terhadap keperluan pengguna dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan pelajar, kata syarikat utiliti negara itu dalam kenyataan di sini.

 

Sebahagian besar mahasiswa termasuk dalam kategori pengguna domestik, yang merupakan lebih 23 juta isi rumah di seluruh negara dan tidak terkesan dengan sebarang kenaikan tarif.

 

Ini bermakna, bil elektrik bagi kebanyakan pelajar yang menyewa di kediaman biasa atau tinggal di kolej kediaman tidak akan mengalami sebarang kenaikan, tertakluk kepada corak penggunaan mereka.

 

Pada masa yang sama, Insentif Cekap Tenaga turut diberi kepada pengguna domestik yang mencatat penggunaan di bawah 1,000 kWj sebulan, menggalakkan amalan penjimatan tenaga dan mengurangkan bil bulanan mereka. Langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos, tetapi turut menyokong matlamat tenaga mampan negara.

 

Di samping itu, pelaksanaan skim Masa Pengunaan (Time of Use - ToU) membolehkan pengguna, termasuk mahasiswa, menjimatkan bil elektrik dengan mengalihkan penggunaan ke luar waktu puncak.

 

Sebagai contoh, penggunaan peralatan elektrik berat seperti mesin basuh, pendingin hawa atau komputer boleh dijadualkan pada waktu luar puncak untuk menikmati kadar tarif yang lebih rendah.

 

Untuk makluman, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta institusi pendidikan lain juga ditawarkan rebat 10%. Rebat yang sama turut diberikan kepada rumah kebajikan dan rumah ibadat.

 

Rebat ini adalah langkah langsung untuk membantu institusi pendidikan menguruskan kos operasi dengan lebih cekap, sekaligus mengelakkan sebarang implikasi kos yang boleh membebankan pelajar.

 

Program Rebat Bil Elektrik RM40, iaitu bantuan bulanan sehingga maksimum RM40 juga diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar dan berdaftar dalam sistem e-Kasih di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Ini termasuk keluarga pelajar daripada golongan B40 yang mungkin turut menerima manfaat secara tidak langsung melalui bantuan ini.

 

Langkah-langkah ini mencerminkan pendekatan menyeluruh dalam melindungi sektor pendidikan dan golongan yang memerlukan.

 

Sebagai rakan pembangunan negara, TNB komited untuk memastikan kebajikan rakyat, termasuk pelajar, terbela dan pada masa yang sama melaksanakan pembaharuan sistem tenaga secara mampan dan bertanggungjawab.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai semakan tarif, insentif serta panduan penjimatan tenaga, sila layari www.mytnb.com.my/tariff atau hubungi TNB CareLine di 1-300-88-5454. - DagangNews.com