KEB Berhad lancar program penanaman pokok bersama MPKj, Yayasan Hijau Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KEB Berhad lancar program penanaman pokok bersama MPKj, Yayasan Hijau Malaysia

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia (YHM) dan KEB Berhad menanam 50 pokok pelbagai spesies di Taman Tasik Kesuma, Beranang - Gambar Facebook MPKj
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Feb – Syarikat pemaju hartanah, KEB Berhad dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Yayasan Hijau Malaysia (YHM) hari ini menganjurkan program penanaman 50 anak pokok landskap sempena pelancaran inisiatif hijau ‘Roots for Tomorrow’.

 

Inisiatif itu merupakan komitmen jangka panjang bagi memelihara dan memulihara alam semula jadi di dalam serta di luar kawasan pembangunan projek kendalian KEB Berhad.

 

Kempen ini mencerminkan aspirasi KEB Berhad untuk mewujudkan keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian alam sekitar dengan menekankan hubungan saling bergantung antara manusia dan alam semula jadi.

 

Salah satu strategi utama di bawah inisiatif ini ialah pelaksanaan aktiviti penanaman pokok secara berterusan.

 

Program itu disertai kira-kira 25 peserta daripada KEB Berhad, diketuai Pengarah Eksekutifnya, Vinson Lim termasuk barisan pengurusan kanan syarikat serta wakil Kerajaan Persekutuan melalui Yayasan Hijau Malaysia dan pihak berkuasa tempatan negeri melalui MPKj.

 

t
Dari kiri: Pengarah Eksekutif KEB Berhad, Vinson Lim; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijau Malaysia, Azlan Jamil dan Pengarah Jabatan Landskap dan Rekreasi MPKj, LAr. Norazman Abd Rahim turut hadir pada majlis tersebut.

 

Kehadiran semua pihak ini memperkukuh usaha kolektif ke arah kelestarian alam sekitar.

 

Menurut Pengarah Jabatan Landskap dan Rekreasi MPKj, LAr. Norazman Abd Rahim, pihaknya giat melaksanakan program penanaman pokok bagi mencapai sasaran  Selangor sebanyak 55,000 pokok setahun dan laporan penanaman tersebut akan dikemukakan kepada kerajaan negeri. 

 

“Sepanjang 2017 hingga pertengahan 2025, MPKj telah menanam 840,443 pokok pelbagai spesies selaras dengan dasar Kerajaan Negeri Selangor serta komitmen merealisasikan Perbandaran Hijau Rendah Karbon seperti digariskan dalam Pelan Strategik MPKj.

 

“Program Penghijauan yang dilancarkan pada 5 Januari 2021 bertemakan “Pokok Kita, Kehidupan Kita” bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan hutan serta memupuk penghargaan terhadap alam sekitar. 

 

“Ia menyasarkan 54 peratus keluasan tanah negara diliputi hutan dan sehingga kini lebih 137 juta pokok daripada lebih 2,000 spesies ditanam di seluruh negara,” katanya.

 

t

 

t
Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia (YHM) dan KEB Berhad menanam 50 pokok pelbagai spesies di Taman Tasik Kesuma, Beranang - Gambar Facebook MPKj

 

Seiring dengan agenda nasional tersebut, KEB telah memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 peratus kawasan hijau dalam setiap projek pembangunan serta melaksanakan program penanaman semula hutan secara tahunan/berfasa di beberapa lokasi utama termasuk Selangor, Johor dan Sabah.

 

Selain itu, syarikat tersebut akan memperkasa pelaksanaan Program Penghijauan di institusi pendidikan dan komuniti melalui pengagihan anak pokok percuma. 

 

Menjelang 2030, KEB menyasarkan penanaman 2,000 pokok, pemulihan 10 ekar tanah serta penglibatan lebih 500 komuniti setempat yang dijangka menyumbang kepada penyerapan sehingga 1,000 tan karbon dioksida (CO₂). - DagangNews.com