Kabinet bincang cadangan RCI isu pemilikan saham Azam Baki – PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kabinet bincang cadangan RCI isu pemilikan saham Azam Baki – PM

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 27 Feb – Kabinet telah membincangkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah dibincangkan secara menyeluruh dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

 

“Kita sudah bincang dengan sewajarnya. Kita akan keluarkan kenyataan kemudian,” katanya kepada media pada Jumaat.

 

Isu berkenaan kembali hangat susulan gesaan beberapa pihak supaya siasatan bebas dijalankan bagi memastikan ketelusan serta memelihara keyakinan awam terhadap institusi penguatkuasaan.

 

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dilaporkan memberi amaran bahawa kegagalan kerajaan mengambil tindakan tegas boleh mendorong beliau dan beberapa Ahli Parlimen DAP mempertimbangkan untuk menarik sokongan daripada kerajaan perpaduan.

 

Menurut beliau, laporan media antarabangsa mengenai isu tersebut berpotensi menjejaskan keyakinan pengundi terhadap kredibiliti kerajaan sekiranya tiada langkah susulan yang jelas diambil.

 

Poay Tiong membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 1/2026 di Dewan Rakyat pada 24 Feb lalu.

 

Dalam perkembangan berasingan, Perdana Menteri enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan wujudnya komplot untuk menjatuhkan kerajaan dan mensabotaj kestabilan negara.

 

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail mengesahkan polis telah memulakan siasatan berhubung dakwaan tersebut susulan satu laporan yang dibuat pada 26 Feb.

 

Menurut beliau, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan berkaitan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

 

Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

 

 

 

 

 

 

Perkembangan lanjut berhubung cadangan penubuhan RCI dijangka diumumkan dalam masa terdekat. - DagangNews.com