Jualan UEM Sunrise dijangka naik dipacu projek RM1.9 bilion Forest Heights - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan UEM Sunrise dijangka naik dipacu projek RM1.9 bilion Forest Heights - MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 Julai — Jualan UEM Sunrise Berhad dijangka melonjak dipacu projek Forest Heights di Negeri Sembilan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.9 bilion, menurut MBSB Research.
 

Firma penyelidikan tersebut berkata, projek hartanah bercampur di Seremban itu berkeluasan 197 hektar dengan projek kediaman membentuk 80 peratus manakala baki merupakan projek komersial

 

Potensi daripada projek terbaharu itu juga katanya, amat baik kerana ia dibangunkan bersama oleh kumpulan berkenaan dan MCL Land yang merupakan syarikat Hong Kong dengan berdasarkan nisbah 50:50.

 

"Dengan peningkatan peluang pekerjaan di Seremban, kami melihat permintaan yang lebih tinggi untuk hartanah dan akan menyokong penjualan Forest Heights," kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Tambahnya lagi, projek hartanah tersebut dimajukan di tengah-tengah pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0 di Negeri Sembilan yang semakin mendapat perhatian banyak syarikat pembinaan.

 

Ia turut melihat bahawa Forest Heights diusahakan UEM Sunrise akan mendapat manfaat daripada kesan limpahan pembangunan ekonomi negeri berkenaan sendiri selain kedudukan bersebelahan Lembah Klang.

 

Walaupun kumpulan itu bersedia memperoleh manfaat daripada prospek bertambah baik pasaran hartanah Johor, MBSB Research melihat bahawa projek-projeknya di wilayah tengah harus juga tidak dilupakan.

 

"Kami mengambil perhatian bahawa 59 peratus daripada jumlah jualan baharu pada FY24 disumbangkan oleh projek di wilayah tengah, manakala wilayah selatan hanya 39 peratus," kata firma berkenaan.

 

Antara projek hartanah dibangunkan UEM Sunrise di Lembah Klang yang turut mendapat permintaan tinggi ialah Kiara Bay, Serene Heights, Forest Heights dan beberapa projek di Petaling Jaya, Selangor.

 

Berdasarkan perkembangan positif tersebut, MBSB Research tidak meletakkan sebarang penarafan, namun memberi unjuran nilai wajar sesaham kumpulan itu kepada 84 sen. - DagangNews.com