KUALA LUMPUR 26 Feb – Farm Fresh Berhad mencatatkan prestasi suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY2026) yang memberangsangkan, dengan hasil yang meningkat 15.6% kepada RM285.1 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan kasar bagi suku ketiga turut meningkat kepada RM93.8 juta, manakala keuntungan sebelum cukai melonjak 32.6% kepada RM37.3 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Farm Fresh berkata keuntungan selepas cukai pula meningkat kepada RM34.1 juta manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) mencapai RM32.2 juta, naik 24.7%.
“Peningkatan dalam 3QFY2026 didorong oleh jualan lebih tinggi dalam pasaran Malaysia, terutamanya melalui pasar raya, ais krim, sekolah, serta pelancaran produk baharu seperti mentega, susu penuh krim dan serbuk koko.
“Sumbangan positif turut datang daripada pasaran serantau. Eksport ke Kemboja kini melebihi jumlah bulanan ke Singapura yang telah menjadi pasaran eksport Farm Fresh sejak lapan tahun lalu.
“Di Kemboja, Farm Fresh menumpukan usaha memasuki pasar moden, kedai kopi utama dan perdagangan am bagi produk UHT. Syarikat turut membina kilang di sana, dijangka beroperasi pertengahan 2026 untuk meningkatkan capaian pasaran dan menambah rangkaian produk,” katanya.
Operasi di Filipina turut mencatatkan peningkatan pendapatan lebih 40% berbanding suku sebelumnya, dengan strategi pengembangan ke pasar moden dan perkhidmatan makanan, sekali gus meningkatkan keterlihatan jenama di negara itu.
Bagi 9 bulan pertama FY2026 (9MFY2026), Farm Fresh merekodkan pendapatan sebanyak RM840.6 juta, meningkat 14% daripada RM737.5 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan kasar bagi 9MFY2026 meningkat 17.5% kepada RM279.3 juta, manakala keuntungan sebelum cukai melonjak 34.1% kepada RM115.1 juta.
Keuntungan selepas cukai pula meningkat kepada RM105.2 juta, manakala PATAMI bertambah 30.3% kepada RM101.7 juta, mencerminkan kekuatan operasi syarikat sepanjang tahun kewangan setakat ini.
Pelaburan syarikat dalam loji Enstek dijangka siap pertengahan 2026, membolehkan pengenalan produk lebih pelbagai.
Tambahan pula, pelaburan dalam peralatan sejuk beku akan meningkatkan bilangan pusat pengedaran daripada 11,200 kepada 13,500 menjelang akhir tahun.
Projek Muadzam Shah 2 Farm turut bermula bagi menambah saiz ternakan lembu tenusu kepada 7,000 ekor, sekali gus menyokong kapasiti pengeluaran domestik.
Farm Fresh juga menekankan komitmen terhadap prinsip ESG, termasuk pembinaan loji biogas yang dijangka mengurangkan 9,800 tan setara karbon dioksida setahun. - DagangNews.com








