JS Solar, Nur Power sasar pembangunan BESS di Taman Teknologi Tinggi Kulim | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JS Solar, Nur Power sasar pembangunan BESS di Taman Teknologi Tinggi Kulim

Taman Teknologi Tinggi Kulim
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Feb – JS Solar Holding Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, JS Solar Sdn Bhd (JSSB), telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan NUR Power Sdn Bhd bagi meneroka kerjasama strategik dalam pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui, khususnya solar atap dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), untuk penyewa di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah.

 

Menurut kenyataan syarikat, kerjasama ini bertujuan membolehkan kedua-dua pihak menggabungkan kepakaran masing-masing dalam penyelesaian tenaga boleh diperbaharui serta membangunkan projek yang berpotensi memberi manfaat kepada industri di kawasan itu.

 

NUR merupakan syarikat utiliti bebas yang mengkhusus dalam penjanaan, penghantaran dan bekalan elektrik kepada pelanggan industri di taman industri tersebut. 

 

Sebagai rakan strategik, NUR akan menyediakan maklumat projek dan keperluan teknikal yang relevan untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek.

 

Dalam kerangka MOU ini, JSSB akan berperanan sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek berkenaan. Kedua-dua pihak juga boleh secara bersama-sama membida peluang terpilih, tertakluk kepada persetujuan bersama, bagi memastikan potensi projek dimaksimumkan.

 

MOU ini memberi ruang kepada JSSB untuk memperkenalkan sistem fotovoltaik canggih, inverter, BESS, sistem kawalan hibrid dan penyelesaian lain yang bersesuaian dengan keperluan projek. 

 

Pihak syarikat menegaskan bahawa kerjasama ini bersifat bukan eksklusif dan NUR bebas untuk melibatkan pihak ketiga bagi projek seumpama ini.

 

Dokumen ini hanya berfungsi sebagai pernyataan hasrat dan tidak mewujudkan sebarang komitmen mengikat bagi mana-mana pihak untuk meneruskan projek atau menganugerahkan kontrak antara satu sama lain.

 

Sebarang kerjasama rasmi akan tertakluk kepada perundingan, penyelesaian dan pelaksanaan perjanjian muktamad yang memperincikan terma, tanggungjawab dan obligasi kedua-dua pihak.

 

Tempoh MOU ditetapkan selama 24 bulan dari tarikh ia dimeterai (10 Feb 2026), membolehkan kedua-dua pihak menilai dan merancang projek dengan lebih terperinci sebelum memasuki perjanjian muktamad. 

 

Syarikat menekankan bahawa MOU ini tidak dijangka memberi kesan material terhadap keuntungan, aset bersih atau nisbah hutang syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.

 

Risiko yang berkaitan dengan potensi kerjasama termasuk kejayaan rundingan, pelaksanaan perjanjian muktamad, kelayakan projek dan keadaan pasaran semasa. Sekiranya perjanjian muktamad dicapai, JS Solar akan menilai dan menguruskan risiko berkaitan dengan teliti.

 

MOU ini tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa pengawalseliaan dan hanya melibatkan kepentingan pengarah dan pemegang saham tertentu. - DagangNews.com